Ringgit sekitar 4.06-4.08 berbanding dolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan lebih rendah sekitar 4.06 hingga 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan unjuran peningkatan hasil bon negara maju itu yang mengekang aliran bon berkaitan ringgit, kata penganalisis.

Namun, Ketua Strategis Pasaran Axi Global Stephen Innes berkata, pengukuhan harga minyak akan terus menjadi faktor positif yang dapat mengimbangi penurunan ringgit berbanding mata wang serantau lain.

“Data pertumbuhan AS semakin meningkat dan pasaran lebih cenderung untuk memegang dolar AS dengan lebih lama. Pengukuhan data ekonomi AS itu bermakna hasilnya meningkat dan akan memacu kenaikan dolar AS yang sebaliknya menjejaskan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu dagangan singkat berikutan cuti Hari Wilayah Persekutuan pada Isnin lepas, menyaksikan ringgit kebanyakannya rendah kerana kekurangan pemangkin positif.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut ketara berbanding dolar AS pada 4.0680/0730 berbanding 4.0400/0450 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0415/0455 daripada 3.0369/0416 pada minggu sebelumnya serta susut berbanding yen kepada 3.8570/8621 daripada 3.8524/8575.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.5687/5772 daripada 5.5207/5291 pada minggu lepas namun meningkat berbanding euro kepada 4.8714/8786 daripada 4.8945/9021 sebelum ini. MG

Leave a Reply