Kerajaan digesa keluar perintah moratorium henti aktiviti pembalakan

 

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan mengeluarkan perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan dalam usaha menangani isu COVID-19 dan perubahan iklim yang membawa kepada bencana alam kini.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kebenaran untuk sektor pembalakan terus beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dilihat amat bercanggah dengan perisytiharan darurat bagi menyelesaikan penularan COVID-19 dan banjir yang melanda beberapa negeri.

Katanya, ia berikutan beberapa kajian menjelaskan bahawa COVID-19 berada dalam kategori penyakit zoonotik.

Beliau berkata, pembangunan mega tanpa kawalan membabitkan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar kini telah menyebabkan kontak antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan.

“Apabila haiwan liar tertekan, ia mengeluarkan virus berbahaya atau bakteria dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia.

“Justeru untuk jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam ada hubungan langsung dengan bencana dihadapi kini, iaitu penyebaran virus yang pasti akan menjejaskan kehidupan manusia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Gesaan beliau itu merujuk kepada kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebelum ini bahawa sektor pembalakan dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, banjir besar yang berlaku berulang kali adalah berpunca daripada perubahan iklim yang turut dikaitkan dengan aktiviti pembalakan.

“Hutan adalah kaedah paling murah dan berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim. Ia berkesan memerangkap karbon dioksida, iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim.

“Justeru, ditegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim.

“Maka, hutan wajib dipertahankan, malah diperbanyakkan lagi kawasan itu jika kerajaan benar-benar serius untuk menangani isu perubahan iklim dan cuaca kerana kita sudah memasuki fasa ‘darurat iklim’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menghadapi masalah untuk mengeluarkan perintah moratorium terbabit kepada semua negeri jika benar-benar ada kemahuan politik yang tinggi.

Katanya, ia berikutan kerajaan pernah mengeluarkan perintah sama ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang sebelum ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker