Muhyiddin Mahu Pengganas LTTE Didakwa, Tommy Tomas dan Mahathir Putus Sebaliknya

 

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dikatakan bertegas mahu 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelan (LTTE) didakwa, kata Tommy Thomas.

Mendakwa sebegitu dalam memoirnya bekas peguam negara berkenaan menambah Muhyiddin sebelum itu cuba menggunakan pengaruhnya – sebagai menteri dalam negeri kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma tidak berperlembagaan semasa digunakan untuk menolak jaminan ke atas suspek terbabit.

Pengisytiharan itu membolehkan Adun Gadek yang mewakili DAP, G Saminathan, mengemukakan permohonan ikat jamin.

Percaya hakim perlu menggunakan budi bicara untuk menentukan sama ada ikat jamin wajar diberikan atau tidak, Thomas berkata dia membuat keputusan agar Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Bagaimanapun, kata Thomas, Muhyiddin berpendapat sebaliknya.

“Banyak tekanan diberikan kepada saya oleh menteri dalam negeri (Muhyiddin) agar saya membuat rayuan. Bahkan Muhyiddin menulis surat kepada perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) meminta untuk ia diputuskan.

“Kabinet memutuskan bahawa ia adalah isu undang-undang dan harus diserahkan kepada saya seperti persoalan lain dalam undang-undang. Tetapi Kementerian Dalam Negeri marah kepada saya,” kata Thomas.

Pendedahan itu adalah sebahagian daripada kandungan pengantar dalam memoir Thomas berjudul Justice In The Wilderness yang diterbitkan baru-baru ini.

Tidak realistik untuk diteruskan

Beza Tommy Thomas dengan Peguam Negara sekarang.

Thomas merupakan peguam kanan yang dilantik menjadi peguam negara oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu menguasai Putrajaya pada 2018.

Dia bagaimanapun melepaskan jawatan itu selepas PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton pada penghujung Feb 2020.

Kata Thomas pada 21 Feb tahun lalu dia menggunakan kuasa perlembagaan yang ada padanya untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas 12 suspek LTTE itu apabila percaya pihak pendakwaan tidak mempunyai kes yang kuat untuk mensabitkan mereka.

Keputusan itu, katanya Thomas, meletakkan dia dan Muhyiddin tidak sehaluan sekali lagi dan kumpulan-kumpulan pendesak kanan menyerangnya dengan hebat.

Sebelum mengeluarkan kenyataan memaklumkan keputusan tersebut, katanya, dia memberikan taklimat kepada Mahathir bahawa tiada peluang realistik untuk mesabitkan mana-mana daripada suspek terbabit.

Kata Thomas Mahathir berpuas hati dengan penjelasan berkenaan dan menyerahkan isu tersebut untuk diputuskan.

Untuk rekod antara tuduhan yang dikenakan ke atas 12 individu berkenaan ialah memiliki gambar V Prabhakaran iaitu pemimpin LTTE yang terbunuh pada Mei 2009.

LTTE kumpulan pengganas berisiko besar, kes perlu dibuka semula, kata pakar

Thomas menganggap tindakan suspek terbabit menyimpan gambar Prabhakaran sama seperti seseorang yang mengagumi tokoh komunis termasuk Vladimir Lenin, Joseph Stalin, Mao Zedong dan Che Guevara

Untuk rekod Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Iskandar pada awal bulan ini menyatakan – di Instagram – bahawa Guevara adalah salah satu idolanya.

“Memiliki gambar (komunis) mereka dan tokoh lain dalam telefon genggam seseorang atau di akaun Facebook tidak menjadikan seseorang itu pengganas.

“Hanya kerana pemimpin terbabit menggunakan keganasan atau tindakan ganas untuk mencapai tujuan politik mereka tidak bermaksud penyokong terbabit harus dianggap pengganas atau sedang merancang tindakan pengganas,” kata Thomas.

Keputusan dia menggugurkan tuduhan ke atas 12 individu itu dibuat beberapa hari sebelum Muhyiddin melakukan tindakannya membawa Bersatu meninggalkan PH, sekali gus membawa kepada jatuhnya gabungan yang mendapat mandat rakyat pada 2018.

Thomas berundur daripada jawatan peguam negara dua hari sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru menggantikan Mahathir.

Kata Thomas, tanpa persefahaman berhubung isu LTTE, mustahil untuk mereka bekerjasama dalam kerajaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker