Mulai Esok Pemegang Pasport British Di HongKong Tidak Lagi Diiktiraf – China
BEIJING: China memaklumkan enggan mengiktiraf pasport Nasional Luar Negara Britain (BNO) sebagai dokumen perjalanan yang sah atau untuk pengenalan diri, bermula esok.
Pengumuman itu dibuat ketika Britain bersedia membuka pintu kepada jutaan penduduk Hong Kong, susulan tindakan keras keselamatan oleh Beijing di wilayah berkenaan.
“Bermula 31 Januari, China tidak lagi mengiktiraf pasport BNO sebagai dokumen perjalanan dan pengenalan diri, dan berhak untuk mengambil tindakan lanjut,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, kepada wartawan, semalam.
Lijian berkata, China yang berang dengan tindakan United Kingdom (UK), percaya Britain bertindak melangkaui apa yang dipersetujui dalam perjanjian itu, sekali gus membatalkannya.
“UK cuba menjadikan sejumlah besar penduduk Hong Kong sebagai rakyat UK kelas kedua… dan mengubah sepenuhnya konsep BNO,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesan pengisytiharan China itu secara praktikal.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri British, Boris Johnson, berjanji menyediakan ruang perlindungan jangka panjang kepada penduduk Hong Kong yang mahu meninggalkan wilayah itu.
Bermula esok, pemegang pasport BNO, iaitu legasi pemerintahan UK di Hong Kong sehingga 1997, boleh mula memohon untuk tinggal dan bekerja di Britain sehingga lima tahun, seterusnya memohon kewarganegaraan.
Sebelum ini, pemegang pasport BNO hanya memiliki hak yang terhad untuk melawat UK sehingga enam bulan, dan tidak berhak untuk bekerja atau menetap di negara itu.
Tindakan London itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan Undang-Undang Keselamatan Nasional oleh China tahun lalu, yang menggugat gerakan penunjuk perasaan Hong Kong dan kebebasan di wilayah itu yang sepatutnya kekal selama 50 tahun berdasarkan perjanjian penyerahan 1997. – AGENSI