Kes anggota polis meninggal dunia ketika kuarantin di rumah, Najib tuntut penjelasan KKM

Bekas perdana menteri, Najib Razak memohon penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kematian seorang anggota polis akibat Covid-19 ketika menjalani kuarantin kendiri.

Ahli parlimen Pekan mempersoalkan tindakan pihak KKM yang membiarkan anggota polis berkenaan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.

Najib meluahkan rasa sedih apabila membaca berita yang menyatakan anggota polis terbabit telah disahkan positif Covid-19 sebanyak dua kali.

“Sedih membaca berita yang menyatakan seorang anggota polis yang telah dua kali disahkan positif Covid meninggal dunia akibat Covid setelah diarahkan untuk kuarantin kendiri di rumah.

“Paling sedih ialah anggota polis sudah mengalami gejala Covid semasa disahkan positif. Kenapa pula dia dibiarkan kuarantin di rumah jika sudah bergejala?

“Harap pihak berwajib akan jelaskan jika allahyarham sarjan tersebut meninggal akibat tidak menerima bantuan kesihatan setelah mengalami komplikasi Covid semasa kuarantin di rumah,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, seorang anggota polis Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Covid-19.

Menurut laporan polis anggota polis lelaki yang berusia 53 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Klang, Selangor, malam tadi.

Arwah, 53 tahun, yang mempunyai lima orang anak, menjalani ujian saringan Covid-19 pertama pada 22 Januari kerana demam dan keputusannya positif.

Ujian saringan kedua dijalankan pada 23 Januari dan keputusannya turut positif, menurut laporan itu.

Selepas ujian pertama, menurut laporan itu lagi, arwah menjalani kuarantin di rumah dan tempoh itu dijadual berakhir 1 Februari.

Sementara itu, Najib berkata perkara ini memerlukan penjelasan pihak berkuasa supaya ia tidak berulang lagi di masa depan.

“Dan jika benar, apakah langkah kerajaan untuk memastikan tragedi begini tidak akan berulang.

“Takziah kepada keluarga Sarjan Mohd Arshad Md Ariffin. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” katanya. MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker