Dengan segala kelonggaran, sebenarnya kita buat PKP ini untuk apa? – Najib Razak
Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan Malaysia melalui 17 hari perintah kawalan pergerakan (PKP) yang “membazir” kerana tempoh itu masih gagal mengawal penularan wabak Covid-19.
Katanya PKP yang longgar bukan saja mengakibatkan kes Covid-19 tidak menurun, malah Malaysia kini menjadi negara paling teruk dilanda wabak itu dalam kalangan Asean ketika ini.
“Pasar tani buka, pasar malam buka, kilang buka, tapak pembinaan buka, kedai perabot buka, kedai emas buka, kedai pakaian dalam mewah dan fesyen buka, ‘shopping mall’ buka. Sampai (jam) 10 malam.
“Sebenarnya kita buat PKP untuk apa memandangkan kes baru Covid-19 masih semakin naik dan syarat semakin longgar?
“Jika begini, hentikan sahaja PKP supaya adil pada semua,” katanya melalui satu hantaran di Facebooknya petang ini.
Pada 11 Jan lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP kali kedua untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 hari, bermula 13 Jan sehingga 26 Jan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.
Tertinggi : 5725 kes baru hari ini, jumlah cecah 203 ribu
PKP dikenakan ke atas lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Selepas peningkatan kes berlaku, pada 19 Jan kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak.
Najib berkata, kerajaan perlu memperketatkan pelaksanaan PKP dan pada masa sama menyalurkan bantuan kepada rakyat.
“Kita buat ketat-ketat dua minggu. Kerajaan beri bantuan secukupnya bagi semua untuk menghadapi dua minggu yang tegas itu.
“Beri peluang untuk hospital dan frontliners (petugas barisan hadapan) kita pulih. Tak dibuat.
“Sebaliknya, kini kita sudah menjalani 17 hari PKP setengah masak yang akhirnya terbazir,” katanya.
You must be logged in to post a comment.