MKT Wajib Hormati Keputusan UMNO Bahagian, Putus Hubungan Dengan PPBM

zahid muhyi

Ketua peringkat akar umbi Umno berharap kepimpinan parti khususnya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menghormati keputusan Umno bahagian yang mahu hubungan dengan PPBM diputuskan serta menghormati kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Ketua Bahagian Gombak Megat Zulkarnain Omardin berkata, perwakilan sudah bersuara dengan lantang dan jelas Umno tidak bekerjasama dengan PPBM apabila menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Kami akan bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN), bukan PPBM di Gombak. Itu keputusan perwakilan,” kata beliau kepada FMT. MN dianggotai Umno dan PAS. Mohamad Azmin Ali dari PPBM pula ialah Ahli Parlimen Gombak.

Megat Zulkarnain berkata, Azmin bebas untuk bertanding kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 tetapi Umno Bahagian Gombak tetap mendesak pucuk pimpinan meletak calon Umno di situ.

Menurut Megat Zulkarnain, yang juga timbalan pengerusi Umno Selangor partinya mempunyai hubungan baik dengan PAS di Selangor dan ini akan diteruskan.

Beliau bagaimanapun mendakwa ada “agenda tersembunyi” di belakang desakan Zahid digantikan.

“Pada penghayatan saya ada agenda tersembunyi serupa dengan kempen fitnah ke atas Najib Razak dua tahun sebelum PRU14,” katanya.

Menurut beliau, pembangkang memusnahkan sosok Najib dan dua tahun kemudian, pada 2018 beliau kalah. “Taktik sama sekarang digunakan untuk menumbangkan Zahid. Ada orang yang melakukan ini semua untuk melemahkan Umno”.

Ketua Bahagian Umno Sik Tajuddin Abdullah pula berkata, beliau tidak faham mengapa ada desakan supaya Zahid melepaskan jawatan pada hal jawatan tertinggi parti terbuka untuk dipertandingkan pada pada pemilihan Umno.

“Sesiapa yang nak bertanding kelak tandinglah. Ini bukan soal Zahid tetapi mengenai jawatan yang beliau menangi dengan undi majoriti,” katanya.

Tajuddin menggesa golongan yang mahu Zahid meletak jawatan bersabar dan jangan melemahkan Umno, dan katanya lagi ahli bahagiannya di Kedah tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Kami rasa PPBM telah menipu Umno. Walaupun ada majoriti tidak ada perkongsian kuasa yang saksama antara PPBM dengan Umno,” kata Tajuddin.

Seorang ketua Umno bahagian di Perak yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, mereka sudah bosan dengan kerajaan PN dan berharap pemimpin Umno akan mengambil tindakan ke atas golongan dalam parti yang secara senyap bersengkongkol dengan PPBM.

“Kami satu keluarga. Sesiapa yang rasa sebelah sana lebih baik, eloklah keluar tinggalkan kami,” katanya.

facebook sharing button
twitter sharing button

Leave a Reply