Kem PLKN, Bina Negara dijadikan depoh tahanan sementara

Kem PLKN dan Kem Bina Negara akan dijadikan sebagai depoh tahanan sementara bagi menempatkan banduan dan tahanan yang disabitkan dengan kesalahan ringan.

PUTRAJAYA – Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Bina Negara akan dijadikan sebagai depoh tahanan sementara bagi menjamin penjarakan fizikal tahanan susulan pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sebanyak 15 kem PLKN dan satu Kem Bina Negara di seluruh negara dikenal pasti bagi tujuan itu.

“Kesemua kem ini akan digunakan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kem tersebut akan menempatkan banduan dan tahanan yang disabitkan dengan kesalahan ringan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menempatkan anggota dan pegawai secara sementara bagi menjamin keselamatan serta kawalan yang ketat,” katanya.

Leave a Reply