Penjarakan pesalah PKP akan burukkan lagi situasi

Kumpulan anggota parlimen bipartisan membantah cadangan kerajaan mewujudkan depoh tahanan sementara sebagai langkah mengurangkan kesesakan di penjara dengan menyatakan kebimbangan tindakan tersebut akan menambahkan risiko penularan wabak Covid-19.

Menerusi satu kenyataan media semalam, Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai reformasi penjara dan tempat tahanan berkata, tindakan menambah bilangan penjara atau membuka pusat tahanan sementara boleh menyebabkan situasi menjadi bertambah buruk.

“Cadangan ini akan menimbulkan masalah logistik dan limitasi sumber kerana banduan yang dipindahkan ke tempat baharu perlu menjalani saringan dan diasingkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan berinteraksi bersama pihak di penjara baharu,” kata KRPPM yang diwakili Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.

Tambahnya, usaha itu juga akan menjejaskan keperluan asas tahanan seperti kelengkapan pelindungan keselamatan, pembersih tangan, barang keperluan diri, bekalan ubat harian bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan dan kekurangan sumber manusia seperti pegawai kesihatan terlatih.

Jelasnya, KRPPM bimbang langkah itu akan meningkatkan penularan wabak.

Pada Jan 19 lalu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, kesesakan di penjara hingga boleh mengakibatkan penularan dan peningkatan kes Covid-19 dijangka dapat dikekang dengan adanya ordinan khas di bawah proklamasi darurat.

Sementara itu, KRPPM turut membantah keputusan kerajaan menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Pada 28 Dis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, majikan yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk enggan memastikan pekerja asing menjalani ujian wajib Covid-19, berisiko didakwa di mahkamah.

“Kami memohon kerajaan mengkaji semula cadangan untuk menambah tempoh hukuman penjara kepada pesalah PKP. Pendekatan ini bukan sahaja menambah kesesakan penjara, tetapi akan melewatkan proses pembebasan awal banduan yang layak berdasarkan program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL),” kata KRPPM.

“Kami mengulangi pendirian berdasarkan fakta (evidence-based) bahawa kerajaan perlu menyegerakan pembebasan awal atau bersyarat di seluruh penjara dan tempat tahanan seperti yang telah dicadangkan oleh Jabatan Penjara.

“Sebagai permulaan, Jabatan Penjara telah mengenalpasti 11,018 orang banduan dengan kesalahan ringan dan tempoh hukuman kurang setahun yang layak mendapat PBSL seperti yang telah diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada. Kerajaan tidak perlu untuk meminda undang-undang sedia ada bagi tindakan dan pelaksanaan segera.

“Mereka yang telah dikenalpasti seramai 11,018 orang itu akan digabungkan dengan program reintegrasi dengan masyarakat untuk memastikan hubungan dan sokongan pertolongan kepada banduan setelah dibebaskan,” jelas KRPPM.

KRPPM juga menggesa kerajaan mengkaji hukuman alternatif bagi kesalahan pelanggaran perintah PKP, di mana kerajaan boleh meningkatkan jumlah denda kepada syarikat atau majikan dan memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.

“Negara berdepan dengan saat kritikal untuk melawan pandemik. Jika tindakan dibuat sekarang tidak berdasarkan fakta, berbilion-bilion ringgit terpaksa dilaburkan untuk menampung kos pencegahan wabak secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerajaan perlu memberi sokongan kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan pembebasan awal banduan seperti yang dicadangkan dan mencegah penularan Covid-19 di tempat tahanan dengan kadar segera,” tambah KRPPM.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker