Kerajaan digesa percepat beri 150,000 komputer riba, elak pelajar tercicir

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan menyegerakan pemberian 150,000 komputer riba kepada murid di 500 sekolah rintis seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memudahkan pembelajaran dalam talian menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan ramai kanak-kanak di negara ini.

“Pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau laptop juga harus diberikan perhatian serius.

“Kementerian Pendidikan seharusnya lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku fenomena keciciran daripada arus pendidikan dalam kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudah pun masuk tahun kedua ini,” katanya dalam kenyataan.

Sayap Umno itu juga mencadangkan supaya kerajaan memperluas siaran pendidikan di televisyen dengan menukar beberapa saluran milik kerajaan kepada siaran TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup berikutan wabak Covid-19.

“Kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat untuk mendesak syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid sekolah.

“(Selain itu) mengarahkan stesyen TV swasta berbayar seperti Astro menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker