GLC digesa tawar hotel jadi pusat kuarantin

PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memiliki hotel digesa menawarkan hotel mereka untuk dijadikan pusat kuarantin dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, individu positif Covid-19 menjalani rawatan dan kuarantin di rumah akan membahayakan ahli keluarga lain.

Beliau turut mempersoalkan jika pesakit itu akan mendapat perhatian secukupnya daripada kakitangan kesihatan.



Katanya, pesakit yang mampu menanggung kos itu boleh memilih untuk dirawat di hotel milik GLC seperti yang dilaksanakan ke atas individu yang pulang dari luar negara.

“Sekiranya pihak swasta ingin turut melibatkan diri menaja mana-mana hotel bajet untuk tujuan sama dan dicadangkan untuk dikecualikan cukai tahunan sebagai timbal balik atas komitmen membantu kerajaan memerangi pandemik ini. Ianya secara tidak langsung dapat membantu perniagaan hotel yang terjejas ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak digunakan langsung untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Sekiranya fasiliti ini diguna pakai kelak, ianya sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menangani lambakan pesakit Covid-19 di seluruh negara dan menjimatkan kos mewujudkan pusat kuarantin baru bagi tujuan tersebut.”



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker