Rekod kebal Liverpool akhirnya musnah kerana percaturan Klopp

LIVERPOOL 0 BURNLEY 1

Jurgen Klopp memikul tanggungjawab penuh selepas rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di tempat sendiri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur di tangan Burnley, awal pagi tadi.

Prestasi juara bertahan itu terserlah semakin merosot selepas gagal menemui sentuhan penyudah dalam perlawanan keempat liga berturut-turut, sepakan penalti Ashley Barnes pada minit ke-83 memastikan mereka mengejutkan The Reds di Merseyside.

Liverpool belum pernah tewas di gelanggang keramat mereka, Anfield, sejak April 2017, iaitu tiga tahun 273 hari yang lalu. Crystal Palace muncul pasukan pelawat yang berjaya membawa pulang tiga mata dari sana.

Tuan rumah melepaskan 27 percubaan — usaha terbanyak Liverpool dalam satu perlawanan liga tanpa menjaringkan gol sejak April 2013 — dan 72 peratus penguasaan bola, namun mereka sekali lagi seri.

“Kami tumpas, yang sebenarnya saya rasa ia adalah mustahil tetapi kami akhirnya memang kalah,” katanya kepada Sky Sports.

“Ia salah sendiri kerana tugas saya adalah perlu memastikan anak-anak buah mempunyai perasaan tepat serta keyakinan yang betul, jelas sekali ia tidak menjad pada malam ini walaupun kami menguasai permainan.

“Kami mencipta beberapa peluang, tidak apa-apa yang berlaku tetapi pada hujung perlawan, kami tidak tepat membuat keputusan yang tepat dan itulah masalahnya.

“Anda memiliki bola di kawasan yang tepat, kemudian anda tidak merembat sebaliknya membuat hantaran, saya yakin saya telah bercakap perkara yang sama minggu lalu.

“Kika sesuatu tidak berfungsi anda harus berusaha lebih keras, lebih lama , lebih kerap demi mencapai keputusan yang lebih baik.

“Jelas ia tidak berjaya malam ini dan itulah yang harus kami akur. Tiada apa yang boleh diperkatakan mengenainya, itu sebabnya kami kalah.”

Sejak serangan Sadio Mane pada minit ke-12 ketika seri 1-1 dengan West Brom pada 27 Disember lalu, Liverpool telah melancarkan 87 percubaan tanpa menghasilkan sebarang gol.

Kekalahan mengejutkan itu menjadikan mereka enam mata di belakang pendahulu, Manchester United, selain tidak menang lima perlawanan EPL buat kali kedua sepanjang kendalian Klopp.

“Ini bukan pertama kalinya ia berlaku dalam bola sepak dan bukanlah yang terakhir. Yang bagusnya kami berpeluang untuk mengubahnya — kami hanya perlu berusaha lagi.

“Malam ini kami tidak dapat melakukannya tetapi kami dapat menggunakannya untuk perlawanan berikutnya.

“Bukannya kami tidak menciptakan peluang disebabkan pemain tidak berkemampuan untuk melakukannya, ia hanya disebabkan keputusan kami akhir di atas padang.”

Liverpool akan bertandang ke Old Trafford untuk pusingan keempat Piala FA, awal pagi Isnin ini.

Leave a Reply