Mahathir bantah kuarantin kendiri buat pesakit Covid-19

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menasihatkan kerajaan supaya mempertimbangkang semula arahan supaya pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

Katanya, tindakan itu adalah tidak efektif untuk membendung jangkitan berkenaan dan memberi situasi bahawa seseorang pesakit mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menjangkiti ahli keluarganya yang lain.

“Jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka lebih ramailah yang terjangkit. Sepatutnya mereka dimasukkan ke dalam kuarantin berasingan dari keluarga.

“Jika selepas sekian lama pesakit mungkin sembuh atau perlu dirawat dalam hospital. Setelah didapati tidak ada jangkitan maka bolehlah balik ke rumah,” katanya dalam satu catatan di blognya hari ini.

 

Dr Mahathir yang merupakan seorang bekas pengamal perubatan menceritakan bagaimana seorang daripada ahli keluarganya yang dijangkiti Covid-19 tidak dapat dimasukkan ke hospital kerana tidak mengalami gejala yang teruk.

Individu tersebut diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah. Namun dia dimasukkan ke hospital apabila keadaannya menjadi teruk sehingga sukar untuk bernafas.

“Masalahnya semasa dia berada di rumah, penyakitnya dijangkit kepada ahli (keluarga lain) di rumah.

“Saya percaya dia tidak dapat dimasukkan (ke) hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 dikesan,” katanya yang merujuk kepada kes positif baru sejak kebelakangan ini yang beberapa kali melepasi 4,000 kes

Pada 20 Januari, kes positif mencatatkan 4,008 kes baru iaitu angka harian kedua tertinggi selepas 4,029 kes pada Sabtu lalu.

Arahan kuarantin kendiri bagi individu tidak bergejala itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada hujung Disember lalu susulan masalah kekangan katil.

Ia berikutan peningkatan kes yang mencecah empat angka setiap hari.

Mengulas lanjut, Mahathir yang juga adalah ahli parlimen Langkawi berkata terdapat banyak cara yang mengurangkan kes jangkitan di negara ini.

Katanya, berdasarkan gambar yang diperoleh menunjukkan jarak katil yang saling berdekatan di tempat kuarantin akan turut menyebabkan jangkitan merebak.

“Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan.

“Khidmat ketua pengarah kesihatan amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker