Tak habis berpolitik, mahu bawa Malaysia ke arah negara republik?

Anwar cabar pengisytiharan darurat di mahkamah, seolah seperti cabar kewibawaan Agong

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – “Adakah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membawa Malaysia ke arah negara republik?”

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim berhubung tindakan Presiden PKR itu yang mahu mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah.

Sebelum ini Anwar mendakwa, proklamasi darurat sebagai langkah terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

“Sudah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa.

“Pasukan peguam sudah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin (Yasin),” dakwanya.

Difahamkan, langkah itu menyusul selepas Anwar menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membatalkan pengisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Januari ini.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar mengingatkan bahawa tindakan sedemikian seolah-olah mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong.

“Masih tidak habis lagi berpolitik, mencabar keputusan di mahkamah bermakna mencabar wibawa YDPA, nak membawa Malaysia ke arah republikkah?,” soalnya.

Bercakap kepada Ismaweb.net hari ini, beliau menggesa ahli politik fokus dalam membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19 serta meminimakan kesan ekonomi yang terbeban oleh rakyat.

“Menyemak perbelanjaan yang dilakukan kerajaan supaya selari dengan dua matlamat ini, menangani COVID dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker