Kerajaan ‘u-turn’ lagi? Ini komen Najib

 

Najib Razak memberikan “jawapan” berhubung tindakan kerajaan “u-turn” mengenai operasi industri kilang kereta semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dengan memuatnaik tangkap layar laporan media Jepun, Najib berkata tindakan “u-turn” kerajaan disebabkan pengaruh syarikat dari Jepun.

“Mula-mula kilang-kilang diletakkan sebagai perkhidmatan keperluan oleh kerajaan dalam senarai awal untuk dibenarkan untuk beroperasi semasa PKP. Namun, selepas dua hari kemudian, kerajaan kata industri kereta tak boleh beroperasi.

“Lalu kerajaan buat ‘u-turn’ sekali lagi dua hari kemudian dan kilang-kilang kereta sekali lagi diletakkan dalam senarai perkhidmatan keperluan yang tidak diganggu semasa PKP.

“Akhirnya terjawab juga apabila media Jepun melaporkan semalam bahawa badan kerajaan negera Jepun serta persatuan industri kereta telah berjaya melobi kerajaan untuk terus menyenaraikan industri mereka sebagai perkhidmatan keperluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 12 Jan lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai aktiviti sektor ekonomi perlu dan dalam senarai tersebut aktiviti pengilangan automotif adalah tersenarai untuk dibenarkan beroperasi di negeri-negeri di bawah PKP.

Ini bermakna, untuk sektor ekonomi automotif, hanya pembaikan dan penyelenggaraan sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi, manakala aktiviti pengilangan pula tidak dibenarkan sama sekali.

Ini sekaligus memberikan kesan kepada kilang-kilang automotif yang terletak di bawah negeri yang dikenakan PKP seperti di Melaka (Honda) dan di Selangor (Proton, Perodua).

Pengecualian aktiviti pengilangan automotif ini adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun Najib mendakwa dua hari lalu, kerajaan menarik balik arahan berkenaan.

Najib berkata tindakan kerajaan dalam isu berkenaan menyebabkan ramai pihak pelik dengan keputusan berubah-ubah kerajaan.

“Maka kilang-kilang kereta pun beroperasi semasa PKP walaupun pernah menjadi kluster Covid-19 dalam gelombang ketiga beberapa bulan lalu,” kata Najib lagi.

Leave a Reply