Pendahuluan i-Sinar kategori 2 dipercepat, KWSP bayar mulai 26 Jan 2021

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mempercepat bayaran pendahuluan sehingga RM1,000 kepada pemohon kemudahan i-Sinar kategori 2, yang akan dibayar bermula 26 Januari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ia sebagai salah satu inisiatif penambahbaikan dalam pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi membantu rakyat yang berdepan kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Permohonan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori, dengan permohonan kategori pertama dibuka bermula 21 Disember lalu, manakala permohonan kedua baru dibuka bermula 11 Januari.

“Setakat 13 Januari, lebih tiga juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini.

“Bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir, kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar kategori 2.

 

 

“Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat,” kata Muhyiddin dalam ucapannya ketika menyampaikan pengumuman khas Pakej Permai di Putrajaya, hari ini.

KWSP mengumumkan program i-Sinar pada 16 Nov lalu bagi membantu pencarum yang terjejas dengan Covid-19 untuk mengeluarkan wang dalam akaun 1 mereka.

Setelah beberapa perubahan dilakukan terhadap syarat pengeluaran, KWSP memperincikan dua kategori yang boleh membuat pengeluaran.

Kategori pertama melibatkan orang yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kategori kedua pula melibatkan pencarum yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan 30 peratus ke atas, dan pencarum perlu mengemukakan dokumen sokongan secara kendiri bagi membuktikan pengurangan pendapatan.

Sepatutnya, status permohonan untuk kategori 2 ini hanya akan dimaklumkan dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat – bermula 11 Jan – manakala pembayaran pula sepatutnya hanya dibuat sebelum akhir bulan berikutnya, tertakluk kepada kelulusan.

Permohonan ditutup pada 30 Jun ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker