Jamal Yunos didakwa muat naik video jelik
Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan memuat naik video yang mengandungi kenyataan jelik melalui Facebooknya, tahun lalu.
Jamal, 51, yang hadir memakai songkok dan kemeja hitam, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamal didakwa menggunakan laman Facebook miliknya ‘Datuk Seri Jamal Yunos’ memuat naik dua video yang mengandungi kenyataan jelik dengan niat menyakiti hati orang lain.
Kedua-dua video itu kemudian dilihat di Taman Dagang Avenue, di sini, jam 12 tengah hari pada 20 Ogos tahun lalu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 10 pagi dan 3 petang, pada 20 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dibaca bersama Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa menawarkan ikat jamin RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh.
“Kepentingan awam perlu diambil kira dalam kes ini dan jumlah yang ditawarkan kepada tertuduh juga adalah tidak berlebihan,” katanya.
Bagaimanapun, Jamal dalam rayuannya menerusi peguam Datuk Mohd Imran Tamrin memohon jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan pendapatannya terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sekiranya tertuduh tidak mampu melaksanakan ikat jamin, dia akan direman dan saya percaya tahanan reman sekarang penuh dengan kes COVID-19,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. BH
Jamal Yunos mohon batal saman RM5 juta Yeo berkait dana Yawas