Anwar siapkan pasukan peguam cabar Pengisytiharan Darurat

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempersiapkan pasukan peguam bagi mencabar Pengisytiharan Darurat.

Langkah terbaharu itu dinyatakan oleh Anwar dalam kenyataannya hari ini selepas beberapa hari mencadangkan kepada semua ahli Parlimen untuk mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Pengisytiharan Darurat.

“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa.



“Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar langkah Pengisytiharan Darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin,” kata Anwar.

Anwar bagaimanapun tidak menerangkan lebih lanjut langkah undang-undang yang akan diambilnya itu.

Tiga hari lalu, Anwar mengesahkan telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengutuskan warkah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Ia bagi meminta Yang Di-Pertuan Agong membatalkan Pengisytiharan Darurat dan menitahkan sidang Parlimen sesecepat mungkin.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar mendakwa kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah meletakkan negara dalam lembah percangahan dan kegilaan.



“Pengumuman demi pengumuman yang dibuat seolah tidak ada perancangan awal yang sering tidak jelas, langsung menginjak perasaan rakyat. Sebaliknya, dampak dari semua ini adalah panik dan ketidaktentuan. Muhyiddin telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan.

“PKP menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil. Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.

“Jadinya, kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein, “adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeda”. Kerajaan pimpinan Muhyiddin hari ini telah meletakkan negara di lembah kegilaan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia sepatutnya telah berjaya dalam melengkungkan jangkitan Covid-19 dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan COVID-19.



Bagaimanapun Anwar mendakwa kerajaan terus menyusah dan membodohkan rakyat dan menganggap rakyat seperti kanak-kanak.

“Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini? Pengisytiharan darurat semacam tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya kita untuk melawan dampak wabak, tetapi sebaliknya hanya sebagai wahana untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan?

“Rakyat tidak mudah lupa yang kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang. Bolehkah kita percaya seorang individu yang mengkhianati Perdana Menteri-nya pada ketika itu, mengkhianati partinya sendiri, mengkhianati kawan-kawan, dan yang paling dahsyat mengkhianati mandat rakyat? Individu begini yang kita diminta untuk percaya?” kata Anwar.-SM

Muhyiddin perlu letak jawatan, bukan usul darurat – Anwar



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker