[VIDEO] Pukul Lelaki Tempatan, Enam Pengawal Keselamatan Bangladesh Ditahan
Alor Setar: Enam pengawal keselamatan warga Bangladesh sebuah kompleks membeli-belah di Lebuhraya Darulaman, di sini, ditahan polis kerana dipercayai memukul seorang lelaki tempatan, semalam.
Mereka yang berusia antara 26 hingga 41 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku jam 3 petang ketika mangsa meletak motosikalnya di hadapan kompleks membeli-belah itu.
Bagaimanapun, seorang pengawal keselamatan memarahi lelaki itu kerana tidak meletakkan motosikal di tempat disediakan.
“Lelaki itu memberitahu dia hanya parkir di situ kerana menunggu ibunya mengambil barang di tingkat atas kompleks berkenaan.
“Namun secara tiba-tiba pengawal keselamatan itu memaki mangsa dengan berkata dia bodoh yang menyebabkan mangsa menolak pengawal keselamatan terbabit,” katanya di sini hari ini.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=jDasfAx1W6Y[/embedyt]Ahmad Shukri berkata, pengawal keselamatan terbabit kemudian memanggil beberapa rakan sekerjanya.
Beliau berkata, mereka kemudian menarik mangsa memasuki satu bilik dan memukul pengadu menggunakan tangan dan kayu penyapu.
“Berikutan itu pengadu mengalami sakit pada anggota badan dan datang balai buat laporan.
“Bagaimanapun pengurus pengawal keselamatan terbabit turut membuat laporan polis memaklumkan pekerjanya diserang,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Video pergaduhan membabitkan enam pengawal keselamatan itu dengan lelaki tempatan berkenaan tersebar di Facebook (FB).
Sehubungan itu, Ahmad Shukri menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik video itu kerana ia boleh menimbulkan provokasi.
“Saya sudah melihat satu status di FB yang tulisannya amat sensitif kerana kita masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian itu berlaku.
“Bagaimanapun, kita memberi amaran kepada pengguna media sosial dan jika ada kesalahan kita boleh mengambil tindakan termasuk melakukan tangkapan,” katanya-HM
Kluster pengawal keselamatan Cheras dikesan