Kluster pengawal keselamatan Cheras dikesan

Kementerian Kesihatan mengumumkan satu kluster baru dikesan melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.

Kluster baru ini dinamakan “kluster pengawal keselamatan Cheras”.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 10 kes positif dilaporkan dalam kluster itu, melibatkan 9 warga Nepal dan 1 warga tempatan.

“Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Hisham berkata semua kes warga Nepal dalam kluster ini tinggal di kediaman yang sama di Cheras.

Saringan Covid-19 dijalankan ke atas penghuni kediaman itu, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan pekerja pasar raya yang berkait rapat.

“Setakat ini, seramai 436 orang disaring, di mana 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 orang masih menunggu keputusan,” katanya.

“Semua kontak rapat setiap kes dipanggil untuk tujuan saringan dan pendidikan kesihatan juga diberikan,” tambahnya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker