PKP jangka panjang atau beberapa sekatan jangka pendek?
PETALING JAYA: Patutkah kerajaan memanjangkan tempoh kawalan pergerakan atau melaksanakan beberapa perintah kawalan jangka pendek secara berperingkat?
Kumpulan perniagaan dan juga ahli ekonomi yang dihubungi FMT tampil menjawab kedua-dua soalan ini.
Di satu pihak, jangka masa sekatan lebih panjang memberikan kepastian dan peluang merancang kepada perniagaan. Di pihak yang lain, krisis Covid-19 terus berlaku, dan tempoh lebih pendek memberi kelonggaran kepada pihak berkuasa.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, jangka masa lebih lama akan membolehkan perniagaan membuat persiapan yang perlu, tetapi tidak ada pihak yang menginginkan sekatan sepanjang bulan sekiranya dua minggu sudah cukup untuk mengurangkan jumlah jangkitan.
“Saya percaya Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan juga tidak begitu yakin apakah dua minggu pertama benar-benar akan melandaikan keluk kes Covid-19.
“Pada akhir minggu kedua, jika jangkitan turun secara drastic, tetapi masih tidak cukup rendah, mungkin mereka boleh melanjutkannya selama seminggu lagi, bukan dua.
“Kita tahu kesan PKP sangat serius, dan kita perlu seimbangkan antara nyawa dan penghidupan.
“Tetapi jika pengamal perubatan berkata, dua minggu jelas tidak mencukupi, mereka mungkin perlu mengisytiharkan (tempoh lebih lama) lebih awal, jadi kami boleh benar-benar bersiap sedia untuk menghadapinya,” katanya kepada FMT.
Geoffrey Williams, seorang ahli ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata, jangka masa sekatan lebih lama juga membolehkan kerajaan merancang tindak balasnya.
“Perniagaan tidak suka mendengar berita buruk, tetapi mereka lebih benci ketidapastian. Jadi lebih baik bersikap jujur dan menjelaskan bahawa PKP mungkin lebih lama,” katanya kepada FMT.
“Perniagaan dan orang awam seharusnya merancang untuk itu sekarang.”
Melanjutkan PKP pasti akan merosakkan ekonomi yang akan memerlukan inisiatif baharu daripada kerajan bagi membantu perniagaan dan rakyat, dan mungkin juga membuat belanjawan baharu.
“Belanjawan lepas adalah berdasarkan anggapan bahawa pandemik ini akan reda dan vaksin sudah tersedia bagi membantu pemulihan.
“Sekarang, tidak mungkin kita akan melihat pemulihan pada separuh pertama tahun ini, jadi belanjawan baharu mungkin diperlukan.
“Perisytihan darurat akan membolehkan perkara ini dan, jika opsyen bagi Ordinan Darurat yang cepat dan proaktif digunakan secara telus untuk tujuan ini, ia akan membantu memulihkan keyakinan,” katanya.
Pusingan kedua sekatan PKP berkuat kuasa di negeri-negeri utama pada Rabu lepas dan dijangka berakhir pada Jan 26.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekatan itu akan berlangsung maksimum empat minggu.
Bagaimanapun, kumpulan perubatan percaya jangka masa dua minggu tidak akan memberikan hasil.
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, wabak Covid-19 akan terus menjangkiti isi rumah selama beberapa minggu akan datang kerana virus itu sudah berada dalam masyarakat.
Yeah Kim Leng, seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway berkata, adalah lebih baik bagi kerajaan mempersiapkan negara untuk tempoh sekatan lebih lama.
Namun beliau memberitahu FMT bahawa lanjutan PKP tempoh demi tempoh akan memberikan Putrajaya fleksibiliti untuk menetapkan semula negeri atau daerah yang mungkin mengalami penurunan atau peningkatan mendadak kes Covid-19.
Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia Lum Kim Soong juga mahu PKP dilanjutkan dari semasa ke semasa, sekiranya keadaan Covid-19 bertambah baik.
Beliau mengeluh kerana banyak perniagaan menderita berikutan wabak dan sekatan yang dilaksanakan, selain bahawa Putrajaya belum mengumumkan inisiatif bagi membantu sektor ekonomi semasa PKP kedua.
“Semua perniagaan menderita selama hampir satu tahun. Sebilangan besar ahli persatuan berkata mereka tidak dapat bertahan lebih lama,” katanya kepada FMT.
You must be logged in to post a comment.