Kerajaan perlu terus bantu golongan terjejas PKP

Kerajaan perlu meneruskan pemberian bantuan dan insentif kepada golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ramai yang terjejas kerana hilang sumber pendapatan disebabkan tidak dapat berniaga atau hilang pekerjaan.

Walaupun PKP diumumkan hanya dua minggu bertujuan menurunkan kadar penularan pandemik COVID-19, katanya, ada kemungkinan ia terpaksa dilanjutkan memandangkan situasi semasa COVID-19 masih menunjukkan peningkatan.



“Jadinya, bantuan dan insentif harus diberikan secara berterusan memandangkan PKP ini saya jangka akan berlanjutan sekiranya kes belum menurun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu turut memetik kajian Dana Populasi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPFA) pada tahun lalu yang mendedahkan lebih 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan dengan kadar pengangguran pada paras 5.3 peratus.

“Maka penting bantuan berterusan lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang didedahkan kepada jaringan perlindungan sosial seperti sumbangan dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ia merangkumi mereka yang bekerja sendiri dan pekerja dalam ekonomi gig, seperti pemandu e-hailing,” katanya.



Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kebanyakan golongan peniaga dan penjaja juga belum pulih sepenuhnya selepas PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Katanya, walaupun diberi kelonggaran selepas itu, mereka baharu mula bernafas untuk memulihkan perniagaan masing-masing.

Selain itu, katanya insentif dan pakej kewangan yang berpusatkan kepada pekerja juga wajar dilaksanakan agar majikan dapat mengambil lebih ramai pekerja terutama siswazah yang baharu menamatkan pengajian.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker