Guan Eng masih takut kah berdebat dengan Wee Ka Siong ?

Guan Eng tidak dapat elak berdebat dengan saya sekarang, kata Wee

Presiden MCA Wee Ka Siong sekali lagi mengulangi cabaran debatnya mengenai isu berkaitan terowong Pulau Pinang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bercakap dengan FMT, Wee berkata, alasan Lim menolak cabaran debat itu ketika ia pertama kali dibuat tidak lagi relevan kerana beliau kini adalah presiden MCA.

Mac lepas, Lim berkata, protokol politik menetapkan bahawa beliau hanya boleh berdebat dengan presiden MCA, yang pada masa itu dijawat oleh Liow Tiong Lai.

“Sekarang saya presiden MCA, dan mengikut Lim, beliau kini boleh berdebat dengan saya,” kata Wee.

“Bagaimanapun jika Lim terus bersikap pengecut dengan memberi alasan lain, saya bersedia berdebat dengan Chow Kon Yeow atas kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.”

Wee kemudian menghalakan kritikannya kepada Chow yang berkata semalam bahawa kos projek terowong bawah laut dan 3 jalan raya lain kekal pada RM6.3 bilion, bukannya mencecah “RM20 bilion” seperti dianggarkan oleh presiden MCA itu.

Wee mempersoalkan bagaimana seseorang boleh mempercayai bahawa projek yang berharga RM6.3 bilion 6 tahun lepas tidak mengalami kenaikan kos sehingga sekarang dan akan kekal pada kos yang sama, hatta pada 2026 apabila kerja pembinaannya dijadualkan bermula.

Beliau berkata, ia seolah-olah menunjukkan kadar inflasi dan harga tanah di Pulau Pinang tidak berubah sejak 2013 dan akan “kekal 0 sehingga tahun 2026”.

Terdahulu kerajaan Pulau Pinang berkata, kerja pembinaan bahagian terowong akan bermula pada 2023, tetapi menurut laporan terbaru, kerja berkenaan hanya akan dimulakan pada 2026.

Wee menyebut bagaimana timbalan Chow, P Ramasamy cuba membuktikan bahawa anggaran kos RM20 bilion yang beliau nyatakan itu sebagai salah.

Ramasamy berkata, harga tanah adalah RM475 satu kaki persegi, bukannya RM1,300 seperti yang diandaikan oleh Wee dalam pengiraannya.

Wee merujuk laporan The Edge Rabu lepas yang menyebut bahawa Maybank membantu menjual tanah terbabit pada harga RM1,300 satu kaki persegi.

“Ini membuktikan saya betul dan Ramasamy salah.”

Katanya beliau mahu debat diadakan, bukannya “bertengkar kosong” melalui media.

Pembinaan terowong dan 3 jalan raya terbabit akan dibayar melalui pemberian hak ke atas 110 ekar tanah di Seri Tanjung Pinang 2, yang masih ditebus guna.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker