‘Tiada ruang untuk golongan transgender buat maksiat’
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary mengingatkan tiada ruang untuk golongan transgender melakukan maksiat di negara ini.
Kata Ahmad Marzuk, golongan tersebut didapati tidak lagi takut-takut untuk menyorok identiti lelaki yang sudah ditukar kepada perwatakan wanita.
“Seingat saya, dulu sangat susah untuk berjumpa dengan lelaki yang suka dan berani mahu memakai gaun, skirt, tudung atau baju kurung. Kali pertama melihat, beristighfar panjang juga saya.
“(Tapi) Ada pula yang sampai mempersoalkan mengapa mereka tidak berhak bahagia dengan menjadi diri sendiri,” katanya.
Ahmad Marzuk mengiringi hantaran di Facebook itu dengan keratan akhbar yang dipadam sebahagian daripada judulnya: ‘… Mengaku Bedah Jantina.’
Walaupun tidak memetik nama tertentu secara khusus, hantaran itu dipercayai merujuk kepada kisah dialami personaliti kontroversi Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman baru-baru ini.
Terdahulu, Sajat mendakwa dirinya dikasari penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sewaktu proses siasatan dijalankan terhadapnya pada 6 Januari lalu di Shah Alam, Selangor.
Dia disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 berkaitan kesalahan berhubungan dengan kesucian institusi agama.
Susulan itu, penyanyi lagu Makhluk Peggoda itu mula memuat naik beberapa siri hantaran di Instagram dan Insta Story yang mendakwa dia sedang mengalami kemurungan.
Dalam kenyataan disiarkan di media sosial itu, Sajat antaranya mengaku sudah menjalani pembedahan menukar jantina selain mempersoalkan mengapa dia tidak boleh melakukan ibadah sebagai seorang wanita.
Sementara itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa mengingatkan bahawa sesiapa yang melakukan maksiat akan mendapat dosa dan balasan di akhirat kelak kecuali jika mereka bertaubat.
“Hidup kita di dunia ini, bukan semata-mata mahu memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apatah lagi mahu memikirkan bahagia sendiri tanpa mempedulikan arahan dan larangan Allah.
“Sahabat-sahabat, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. Sifat taqwa petunjuknya adalah Al-Quran. Rujuklah Al-Quran untuk mengetahui naluri kalian itu adalah kebenaran ataupun ujian,” katanya.
Kata Ahmad Marzuk, golongan lelaki yang menukar identiti kepada wanita kini sudah semakin berani mempengaruhi ramai anak-anak muda.
“Sehinggakan, mahasiswa lelaki jurusan agama pun ada yang bersolek tebal sebelum pergi ke kelas. Betapa kuatnya arus kebebasan fahaman Barat yang masuk ke dalam negara kita,” katanya.
Ahmad Marzuk turut menyeru agar nasihat dan kata-kata yang baik sentiasa digunakan bagi membantu golongan yang mempunyai masalah kekeliruan jantina untuk keluar daripada ujian.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) misalnya ada menyediakan banyak sistem sokongan untuk membantu sahabat-sahabat yang bergelut dengan kecelaruan identiti.
“Namun, jika maksiat itu mahu dilakukan secara terbuka dan mengajak-ajak pula orang lain untuk tidak takut melakukan hal yang serupa, menjadi tanggungjawab kita menghalang dengan mengguna pakai saluran undang-undang Syariah yang ada,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Marzuk memaklumkan sudah ada beberapa negeri sedang membuat semakan untuk memperkukuhkan lagi Enakmen Jenayah Syariah pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kita akan usahakan satu demi satu dengan segenap kemahuan politik yang kita ada ada. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita semua,” katanya.
You must be logged in to post a comment.