‘Saya anak penoreh, bukan sifat saya hina orang’
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tampil memohon maaf terhadap pihak yang terkilan dengan kenyataannya sebelum ini dengan berkata bahawa dia bukan seorang yang suka merendahkan orang lain.
Ahmad merujuk kenyataannya yang menyifatkan golongan berpendidikan tinggi lebih dapat memahami keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.
“Ya benar saya minta maaf kepada pihak yang terkilan terhadap saya.
“Bukan perangai saya untuk rendahkan orang lain. Bererti itu bukan disengajakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Ahmad, dia dilahirkan dalam keluarga miskin dan merupakan anak penoreh getah.
“Bukan sifat saya hina orang,” tegasnya.
Ahmad, yang juga merupakan ahli parlimen Pontian mendapat kecaman susulan kenyataan yang dibuat dalam program wacana anjuran Umno Tanjung Malim yang disiarkan secara langsung oleh Facebook Umno Online pada 8 Jan lalu.
Ahmad ketika itu merujuk temu bual stesen televisyen dengan seorang individu yang bekerja sebagai pemarut kelapa dan menerangkan sebab-sebab mengapa PRU wajar diadakan segera.
“Rasanya yang memarut kelapa tadi tu, dia tidak perasan… yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah, harap dia sekolah tinggilah.
“Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD (ijazah kedoktoran), saya rasa tentu dia boleh mengulas dengan lebih tepat,” katanya sambil menunjuk kepada panel lain wacana itu, Adun Slim Mohd Zaidi Aziz yang juga lepasan UIA serta Prof Madya Dr Baharuddin Aziz dari Center for Leadership and Professional Development.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP menyelar Ahmad dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai sombong dan menghina pekerja biasa yang menolak cadangan agar PRU diadakan semasa Covid-19 masih mengancam.
Ahmad kemudian tampil mempertahankan pendiriannya dengan menjelaskan bahawa cadangannya untuk mengadakan PRU adalah selepas banjir reda dan vaksinasi Covid-19 telah dimulakan ke atas penduduk di negara ini.
“Saya sebut PRU jika banjir selesai, vaksin dah dimulakan.
“Kempen (PRU) guna media sosial,” katanya menerusi laman sosial Twitter pada 10 Jan lalu.
Ahmad berkata dia juga meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa PRU boleh diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Saya sebut SPR nyatakan dalam (akhbar) #Sinar dan #Star, OK PRU dengan SOP yang ketat.
“Jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma satu hari beratur mengundi dengan SOP ketat,” katanya.
You must be logged in to post a comment.