Pesakit Covid-19 mungkin perlu bayar rawatan di hospital swasta
Putrajaya telah mula melibatkan hospital swasta dalam usaha menarik mereka ke dalam pertempuran melawan wabak Covid-19 yang semakin meruncing.
Buat masa ini, nampaknya hanya pesakit yang memiliki polisi insurans yang betul atau kemampuan untuk membayar rawatan mereka sendiri yang boleh dirawat di hospital swasta.
Bagaimanapun, tidak ada polisi yang tidak boleh berubah. Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abullah memberitahu Malaysiakini rundingan dengan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta masih berjalan.
Difahamkan, perbincangan awal antara Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan pihak berkuasa kesihatan persekutuan berlangsung pada hari Selasa.
Antara lain, dicadangkan agar hospital swasta memperuntukkan 10 peratus katil rawatan biasa dan unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19.
Ringkasan pertemuan pada hari Selasa, yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, telah banyak dikongsi di kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta semalam.
Presiden APHM Dr Kuljit Singh memberitahu Malaysiakini mengesahkan pihaknya telah mencapai beberapa perjanjian awal mengenai bagaimana hospital swasta akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM).
Antaranya, hospital swasta perlu menangani pesakit mereka yang didiagnosis dengan virus Covid-19 ketika berada di bawah jagaannya dan tidak merujuk pesakit berkenaan ke kemudahan KKM.
“Sepanjang tahun 2020, Kementerian Kesihatan telah menangani semua kes secara bersendirian termasuk yang dirujuk oleh hospital swasta. Ini keputusan mereka sendiri, dan itu adalah keputusan yang baik, kerana ini merupakan salah satu cara yang baik untuk membendung virus tersebut. .
“Kedua, ini bagi menyesuaikan diri dengan keluk pembelajaran mengenai virus baru ini. Itulah sebabnya mengapa Malaysia adalah salah satu negara terbaik dalam menangani wabak tersebut.
“Sekarang kita mempunyai situasi di mana jumlahnya meningkat sangat tinggi. Jadi, sekarang kita lihat 3,000 kes sehari, dan jika kita mengira menggunakan matematik asas, hanya dalam lima hari kita akan mendapat 15,000 kes. Jadi, sudah tentu hospital tidak akan ada daya kemampuan.
“Sekarang, langkah pertama adalah hospital swasta akan menjaga pesakit mereka sendiri,” katanya.
Menurut Kuljit, APHM berharap dapat melaksanakan rancangannya secepat mungkin.
Persatuan ini bekerjasama dengan 146 hospital anggota untuk mengenal pasti keupayaan masing-masing, serta masalah teknikal lain untuk menampung wad pengasingan bagi pesakit penyakit berjangkit.
Terdapat 201 hospital swasta di negara ini.
Siapa bayar: Insurans, poket sendiri, k’jaan?
Bagaimanapun, pada saat ini, usaha awam-swasta itu juga menghadapi masalah lain: Siapa yang akan membayar bilnya?
Walaupun APHM berkata hospital anggotanya tidak mencari keuntungan daripada wabak itu, hospital masih perlu mengenakan bayaran untuk menampung kos dan gaji pekerja kesihatan mereka.
Antara pilihan yang ada adalah meminta syarikat insurans untuk melindungi pesakit dengan kad perubatan, sementara mereka yang mempunyai mampu perlu membayar dari poket sendiri.
Tetapi menurut Kuljit, syarikat insurans agat berat hati mahu berbuat demikian.
“Kerana mereka memandang ini sebagai pandemik dan mereka meletakkan pandemik sebagai kriteria pengecualian (dalam polisi insurans mereka). Kerana apabila mereka perlu menanggung pandemik, mereka rugi banyak. Tetapi kami menggesa syarikat insurans untuk mempertimbangkan kembali hal ini.
“Kita sekarang berada di dalam wabak. Ini darurat. Mereka perlu meneliti semula. Syarikat insurans harus membayar kerana rawatan Covid-19 tidak mahal, cuma banyak pemerhatian, bekalan oksigen dan lain-lain, tetapi tentu saja jika seseorang dimasukkan ke unit rawatan rapi, kosnya akan lebih tinggi,” katanya.
Oleh kerana perbincangan masih berlangsung antara Putrajaya, hospital swasta dan syarikat insurans, pihak berkenaan juga meneliti pesakit yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar bil perubatan.
Ini selepas sebahagian daripada perancangan kecemasan termasuklah, Kementerian Kesihatan menghantar pesakit mereka ke hospital swasta jika mereka tidak lagi dapat menampung jumlah kes Covid-19.
Dalam senario ini, Kuljit berkata mereka belum mencapai keputusan mengenai perkara itu, tetapi bersetuju tiada seorangpun yang patut dinafikan rawatan kesihatan.
“Sekiranya kita mencapai tahap di mana orang tidak memiliki (insurans) kad perubatan dan mereka tidak dapat katil di (kemudahan) kerajaan, maka mungkin Kementerian Kewangan dapat memiliki mekanisme untuk membayar bil (rawatan di hospital swasta itu).”
Pengambilan pesakit Covid-19 oleh hospital swasta bagaimanapun boleh dilakukan tanpa kerelaan.
Walaupun APHM berkata pihaknya juga ingin membantu negara ini, namun kerajaan juga memiliki lebih banyak kuasa sekarang selepas pengisytiharan darurat.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata semalam antara langkah darurat yang boleh diambil adalah mengenakan kompaun kepada hospital swasta yang enggan menerima pesakit Covid-19.
“Kita bersetuju dengan KKM kalau boleh tidak sampai tahap memaksa lagi, peringkat awal ini kita bincang dengan pihak swasta dan memberi cadangan kerajaan
“Kalau mereka tidak setuju kita boleh guna undang-undang, malah denda kalau tak silap saya sehingga RM5 juta dan boleh dipenjara,” katanya yang juga menteri pertahanan.
Pada ketika berita ini ditulis belum ada lagi Ordinan Darurat baru yang dikeluarkan. Ordnan sebegitu adalah undang-undang khas yang boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong, tanpa kelulusan parlimen.