Peguam bimbang kuasa besar kerajaan menerusi Ordinan Darurat
Kalangan peguam mengkritik Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 kerana memberi kuasa begitu luas kepada kerajaaan sepanjang tempoh penguatkuasaan Darurat.
Antara isu yang membangkitkan kebimbangan mereka adalah penggantungan sidang Parlimen dan pilihan raya, kuasa kerajaan untuk mengambil alih hartanah persendirian, dan apa yang dilihat sebagai kekebalan daripada tindakan undang-undang.
“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah perundangan paling drakonian yang pernah dibuat kerajaan ini.
“Ia menidakkan pilihan raya, menggantung Parlimen dan DUN, dan memberi kuasa yang besar kepada kerajaan untuk mengambil alih hartanah persendirian.
“Ini bukan demokrasi,” kata peguam New Sin Yew menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu hari ini, Jabatan Peguam Negara mengumumkan perincian Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dikuatkuasa bermula dari 11 Januari 2021, yang merangkumi soal urus tadbir sepanjang tempoh penguatkuasaannya.
Selain hal-hal di atas, ia juga memberikan kuasa kepada tentera seperti polis dan kerajaan dan pegawai awam kekebalan tidak boleh dikenakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan tarikh tamat mahupun jangka waktu kuasa itu berakhir.
Mereka yang melanggar peruntukan untuk penyitaan aset dan sumber akan dikenakan denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, New berkata dia terutama bimbang dengan Perkara 12, yang menyatakan had lima tahun bagi penggal Parlimen tidak terpakai jika Darurat berterusan sehingga 2024.
“Jadi, dengan jangkaan ia kekal sehingga tahun itu, maka Parlimen tidak akan terbubar pada 2023 (seperti sepatutnya),” katanya.
Peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan sama ada ordinan ini akan menafikan hak perundangan individu terhadap kerajaan bagi segala tindakan yang berkaitan dengan pelaksanaan ordinan.
“Hak anda dinafikan Ordinan Darurat? Malang bagi anda,” katanya di Twitter.
Peguam Sangeet Kaur Deo pula bimbang ordinan ini akan menafikan semak dan imbang kedua menerusi mahkamah terhadap segala tindakan kerajaan berkaitan darurat.
“Kita sudah pun hilang semak dan imbang di Parlimen, sekarang kita tiada akses mahkamah untuk semak dan imbang kedua.
“Ini membuatkan ordinan baru ini terbuka untuk disalah guna dan itulah kebimbangan saya,” katanya ketika dihubungi.
Dia menyifatkannya sebagai duluan yang tidak baik.
Katanya lagi, ketiadaan akses perundangan itu berkaitan dengan peruntukan lain dalam ordinan, antaranya yang memberi kuasa untuk kerajaan mengambil alih hartanah persendirian.
Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata walaupun tindakan kerajaan menerusi kuasa darurat tidak dapat dicabar di mahkamah, masih ada keperluan untuk membawanya ke mahkamah.
Katanya, ini disebabkan soal keabsahan ordinan tersebut memandangkan sudah ada undang-undang sedia ada yang memadai untuk kerajaan mengekang penularan Covid-19.
Dia mendakwa ordinan itu endiri tidak mempunyai banyak peruntukan yang berkaitan dengan Covid-19.
“Mahkamah memainkan peranan penting dalam menjadi ruang yang wajar untuk menguji Ordinan Darurat.
“Mana-mana pihak dapat meminta penjelasan daripada mahkamah berhubung ruang yang samar berkenaan status perundangan ordinan ini,” katanya lagi. Mk
Darurat , apa yang perlu kita tahu mengenainya