Kerani wanita rugi RM112,000 diperdaya ‘pegawai Bank Negara’
KUALA LUMPUR: Padah mendedahkan maklumat akaun peribadi, seorang kerani akaun wanita kerugian RM112,000 akibat terpedaya dengan panggilan palsu sindiket penipuan Macau Scam.
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada 2 Jan lalu apabila wanita berusia lingkungan 40-an itu menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengenai penggunaan kad kredit.
Dalam perbualan telefon itu, Beh berkata lelaki berkenaan memberitahu mangsa bahawa terdapat penggunaan kad kredit yang didaftarkan atas namanya dan kemudian menyambungkan panggilan itu kepada “pegawai Bank Negara”.
“Pengadu telah mendedahkan maklumat peribadinya setelah berjaya diyakinkan suspek yang menyamar sebagai ‘pegawai Bank Negara’ berkenaan tentang penyalahgunaan nama dalam urusan kad kredit itu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu sehari selepas menerima panggilan itu apabila menyemak akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga,“ katanya pada sidang media.
Dalang operator pusat panggilan macau scam ditahan
Mengulas lanjut, Beh berkata sepanjang tahun lepas pihaknya menerima sebanyak 193 laporan polis berhubung panggilan palsu Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM6 juta dengan 30% daripada jumlah kes itu berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam siasatan.
“Polis memandang serius kes-kes yang melibatkan panggilan palsu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap panggilan yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Dalam kes berasingan, tujuh individu warga tempatan berumur 23 hingga 40 tahun termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit kes judi dalam talian semasa serbuan di sebuah kondominium di Kepong, pada 8.30 malam, 7 Jan lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi sejak tiga bulan lalu dan 27 komputer serta beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan perjudian turut dirampas dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sering buat panggilan lucah, lelaki dipukul dua wanita hingga mati