PKP 2.0 diragui jika banyak sektor terus beroperasi – Ahli Parlimen

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen DAP persoalkan keberkesanan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dan proklamasi darurat kerana terdapat percanggahan dalam aspek pelaksanaannya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, PKP 2.0 lebih longgar berbanding PKP yang diperkenalkan pada 18 Mac tahun lalu, dengan sektor ekonomi termasuk kilang, pejabat kerajaan, sekolah dan tadika dibenarkan beroperasi.

Sedangkan beberapa kluster besar melibatkan tempat kerja, tambahnya.

“Bagaimanakah kerajaan hendak mencapai keberkesanan PKP 1.0 jika SOP yang dikenakan kini jauh lebih longgar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Apakah sebenarnya yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui PKP 2.0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut memaklumkan Putrajaya boleh menggubal ordinan bagi memastikan tugas kerajaan membendung wabak itu dapat dicapai, namun beberapa persoalan lain masih ada.

“Apakah undang-undang sedia ada, termasuk PKP, menghalang kerajaan daripada menjalankan tugas melawan wabak?” katanya.

Sim berkata, Muhyiddin dalam perutusan daruratnya turut memaklumkan ia dibuat untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya umum ketika negara sedang mengharungi wabak Covid-19.

Namun semua parti pembangkang tidak mahukan pilihan raya umum jika wabak belum berjaya dibendung.

Katanya, nampak seperti hanya Umno sahaja yang menuntut pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, namun bukan semua pemimpinnya bersetuju.

Dengan fungsi badan legislatif tergantung ketika badan eksekutif dan kehakiman dibenarkan beroperasi seperti biasa, Sim mendakwa darurat dilaksanakan untuk melindungi jawatan perdana menteri.

“Perdana menteri khuatir jika Parlimen dibenarkan bersidang, kehilangan sokongan terhadap beliau akan didedahkan,” katanya.

Sim menggesa Muhyiddin harus segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi Covid-19, mengatakan beliau tidak perlu risau wakil-wakil rakyat akan mengganggu usaha melindungi rakyat daripada wabak.

“Ahli Parlimen sebulat suara menyokong dua Rang Undang-undang Covid-19 pada sidang tahun lepas, malah barisan pembangkang menggesa kerajaan supaya menambahkan lagi peruntukan bagi melawan Covid-19.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker