Benar, UMNO lemas di kolam yang cetek – Annuar
TAN Sri Annuar Musa menjadi pemimpin UMNO pertama bersetuju dengan pandangan Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin bahawa UMNO ketika ini sedang lemas di dalam sebuah kolam yang cetek.
“Saya mendapati ia benar. Saya merasakan UMNO perlu mendengar jika tidak UMNO bakal hanyut semakin jauh.
“Masih ramai yang masih dibuai mimpi lama ketika rakyat sudah jauh berubah. Masih ramai selesa dalam kepompong lama sedangkan parti lain telah merekayasa parti mereka masing masing,” kata Annuar.
Malah parti itu menganggap sebarang teguran terhadap UMNO dan pemimpinnya dikira sebagai pembelotan dan mereka yang membuat teguran perlu disingkirkan.
“Namun saya merasakan belum terlambat untuk membangkitkan kesedaran dalam UMNO. Malah telah ada gelombang kesedaran baru yang mampu membesar. Yang diperlukan adalah keberanian serta keihlasan dalam perjuangan.
“Ya… lemas di kolam cetek kerana hilang upaya atau terlena di kolam renang bukan disebabkan tiada kepandaian berenang. Pulihkan keupayaan, bangunlah dari lena yg panjang,” gesa Annuar.
Dalam artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita, Shamsul Amri berkata, UMNO kini umpama lemas di kolam yang cetek.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang untuk sekian lamanya adalah jantung dan otak UMNO sekali gus tiba-tiba terencat. Oleh kerana hospital politik seperti Institut Jantung Negara (IJN) tiada, penyakit UMNO tidak dirawat, semakin hari semakin parah.
“Selepas PRU14, UMNO yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh para anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.
“Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14,” kata Shamsul Amri.-SM
You must be logged in to post a comment.