Trump perlu letak jawatan segera – Republikan

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Pat Toomey semalam, menggesa Presiden Donald Trump meletak jawatan susulan insiden penyokongnya mengamuk di Capitol AS, minggu lalu.

Toomey yang menyokong Trump sebelum ini, muncul sebagai anggota Senat Republikan kedua menggesa presiden supaya melepaskan jawatannya.

Toomey berkata beliau tidak fikir ada masa untuk memecat Trump selain hanya berbaki 10 hari sebelum Joe Biden mengangkat sumpah menggantikan Trump.

Beliau ketika memberitahu ‘State of the Union’ CNN, menyifatkan peletakan jawatan adalah ‘kaedah terbaik untuk memberi kesedaran’.

“Saya percaya jalan terbaik bagi negara adalah supaya presiden meletakkan jawatan dan pergi secepat mungkin,” katanya dalam temu bual dalam program NBC, ‘Meet the Press’.

Sementara itu, Senator Lisa Murkowski, Jumaat lalu, berkata Trump perlu segera meletak jawatan selain bercadang untuk keluar daripada parti jika Republikan tidak boleh berpisah dengan presiden itu.

Senator Republikan Ben Sasse, yang sering mengkritik Trump, berkata kepada CBS News dia ‘pasti akan mempertimbangkan’ pertuduhan pemecatan kerana presiden ‘mengabaikan sumpah bagi jawatannya’.

Toomey, seorang konservatif yang merancang untuk bersara pada akhir penggal 2022, menegaskan, beliau yakin Trump semakin ‘gila’ selepas pilihan raya.

“Saya tidak rasa ada yang perlu diragukan sama sekali… semua perangai presiden selepas pilihan raya sangat berbeza daripada sebelum ini.

“Beliau sudah semakin gila dan terbabit dengan kegiatan yang tidak boleh diduga dan dimaafkan,” katanya kepada CNN. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker