Perjalanan rentas negeri dan daerah memburukan penularan berlaku

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual membuat pengumuman hari ini berhubung peraturan larangan pergerakan baru untuk mendepani peningkatan jumlah kes Covid-19.

Untuk rekod, purata kes baru harian seluruh negara pada bulan ini adalah 2,298 kes, berbanding purata 12 kes sehari pada Ogos. Ketika itu, Malaysia hampir berjaya membendung penularan tempatan.

Gelombang ketiga jangkitan Covid-19 – yang bermula pada akhir September 2020 susulan PRN Sabah – tidak menunjukkan tanda penurunan walaupun dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Di saat Sabah terus mencatatkan kes baru sebanyak tiga angka, kawasan Lembah Klang telah mengatasinya selaku kawasan dengan kes baru tertinggi.

Bagaimana ia berlaku?

Seorang ahli akademik yang meneliti masalah ini berkata peningkatan kes bermula di Selangor dan kemudiannya merebak ke seluruh negara selepas kerajaan membenarkan perjalanan antara negeri dan daerah.

Larangan itu pada mulanya dikenakan pada pertengahan Oktober 2020 sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan PKPB. Ia kemudian dilonggarkan pada 7 Disember 2020.

Menurut pakar ekonomi kesihatan Lim Chee Han, jumlah kes baru harian sebenarnya terkawal sehinggalah peraturan itu dilonggarkan.

Katanya, trend ini paling ketara di Selangor.

Bermula 14 Oktober (ketika PKPB bermula) sehingga 7 Disember, kebanyakan daerah di Selangor menunjukkan jumlah jangkitan yang secara relatifnya stabil pada 14 hari pertama.

 

Kecuali Klang yang mengalami lonjakan kes mendadak akibat kluster Teratai. Daerah lain mula mengalami peningkatan kes selepas minggu pertama bulan Disember.

Ini dapat dilihat terutama di Gombak, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Kes di Petaling dan Hulu Langat pula mula meningkat pada akhir November.

Pada 6 Jan 2021; semua sembilan daerah di Selangor menyaksikan kes yang jauh lebih tinggi berbanding sebulan sebelumnya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa jumlah kes baru di Selangor yang dikesan dari mereka yang mempunyai gejala seperti jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dan penyakit seperti influenza (ILI) juga terus meningkat sejak awal Disember 2020.

Punca jangkitan ini pada waktu pengesahan biasanya tidak diketahui.

 

Ini berlaku ketika kebanyakan kes Covid-19 adalah tidak bergejala.

Jangan ulang kesilapan

Mengenai jangkitan kumulatif di seluruh negara, Lim melihat kes jangkitan mula menurun berikutan pelaksanaan PKPB.

Bagaimanapun, trend ini berubah selepas minggu pertama bulan Disember lalu.

“Kes aktif dan kes jangkitan tempatan benar-benar berkurang pada awal Disember, ini menunjukkan PKPB pada mulanya berkesan dalam mengekang penularan.

 

“Pelonggaran awal terhadap larangan rentas daerah dan rentas negeri mungkin merupakan faktor utama peningkatan kes selepas itu,” katanya.

Oleh itu, dia berharap pengumuman Muhyiddin hari ini akan turut melarang perjalanan rentas negeri dan daerah yang tidak penting.

“Kerajaan harus belajar dari kesilapannya sebelum ini, yang melonggarkan sekatan pergerakan di zon merah pada awal bulan Disember lalu,” katanya.

Menurutnya, pelonggaran itu menyebabkan tempat-tempat pelancongan serta mereka di kawasan luar bandar terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19.

Pada minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa PKPB telah gagal menurunkan nombor kes Covid-19.

Sekurang-kurangnya lima kluster baru wujud disebabkan oleh perjalanan rentas negeri.

Jangkitan menular

Lim yang merupakan penyelidik kesihatan awam dengan badan pemikir Third World Network turut menyentuh soal lonjakan kes baru-baru ini di beberapa daerah yang mempunyai penularan tempatan.

Sepanjang November hingga awal Disember 2020, kira-kira 62 peratus daripada 150 daerah di seluruh negara telah mengalami jangkitan tempatan dalam 14 hari pertama. Menjelang 7 Jan 2021, jumlah ini meningkat kepada 80.7 peratus (121 daerah).

 

Lim berkata tindakan pelonggaran sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah adalah “faktor penyumbang utama” penularan wabak.

“Kira-kira 30 daerah lagi telah melaporkan kes ketika 14 hari sebelumnya setakat 7 Januari, berbanding 7 Disember,” katanya.

Jumlah zon merah juga bertambah, menunjukkan penularan yang kian memburuk. Zon merah dikategorikan sebagai daerah yang mencatatkan 41 kes atau lebih dalam tempoh 14 hari.

Pada awal Disember, jumlah zon merah melonjak sekitar 40 kawasan. Sehingga 7 Jan 2021, terdapat 64 zon merah di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai pemerhatiannya, Lim berkata banyak lagi kes Covid-19 yang tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kluster. Ini di saat kluster-kluster aktif Covid-19 sedang bertambah.

Ini bermaksud kes-kes tersebut tidak diketahui punca jangkitannya.

Pada awal Disember, jumlah kes harian tidak berkaitan kluster meningkat sekitar 700 kes. Ia meningkat dua kali ganda pada 7 Januari dengan 1,507 kes.

“Ini bermakna penularan tempatan kian banyak dan keadaan semakin kurang terkawal.”

Keadaan Covid-19 yang semakin teruk sejak akhir-akhir ini mendorong Noor Hisham memberi isyarat bahawa sistem kesihatan negara di tahap genting, ia termasuklah kemungkinan kemudahan kesihatan tidak dapat lagi menampung kes baru.

 

Sehingga 10 Jan, kemudahan kesihatan Malaysia mempunyai 28,674 jumlah katil dan sedang merawat 27,332 pesakit Covid-19.

Kes baru harian pula melebihi 2,000 kes sejak enam hari lalu.

KKM telah mencadangkan supaya kerajaan mengenakan kawalan perjalanan di kawasan tertentu yang mencatatkan kadar jangkitan yang tinggi.

Pada masa sama, KKM juga berhasrat untuk pesakit risiko rendah menjalani kuarantin di rumah atau hotel, bagi memberi ruang kepada kes lain di pusat kuarantin kerajaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker