Pembahagian kerusi Pas-UMNO, Pas- Bersatu belum dimuktamad selagi tiada tarikh PRU15

ALOR SETAR: Keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi membabitkan Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) serta Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) masih belum dapat dimuktamadkan selagi tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak diumumkan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, setakat ini sebarang pengesahan mengenai pembahagian kerusi membabitkan parti Pas masih belum dapat dibuat kerana pertukaran serta perubahan masih boleh dilakukan sebelum tarikh sebenar dimuktamadkan kelak.

“Pilihan raya tidak tahu lagi bila, tahu pilihan raya barulah kita dapat selesaikan, InsyaAllah bila tahu pilihan raya kita akan dapat tentukan (pembahagian kerusi).

“Perkara itu boleh berubah, saya tidak boleh beritahu sekarang, boleh adjust (ubah) lagi mana perlu, tukar tukar sini mana perlu, belum muktamad lagi, tetapi kita buat keputusan (untuk) serah (proses perundingan pembahagian kerusi) kepada (Pas) Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan MUDA, di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menegaskan bahawa perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat amat tidak sesuai terutama ketika negara menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

“Time (waktu) ini tidak wajar, masih ada (kes-kes berkaitan) COVID, banjir (pula) tidak tahu lagi hendak atasi, mangsa banjir pun tidak (dapat) selesai (masalah mereka) lagi, biar selesai semua (perkara ini) baru boleh kita fikir (untuk adakan) pilihan raya,” katanya lagi.

Sabtu lalu, bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan bahawa UMNO sudah selesai mengadakan rundingan kerusi bersama Pas dan akan bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan telah diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan bahawa UMNO akan bertanding sebanyak 96 kerusi pada PRU15.
Nazri berkata, UMNO juga tidak akan memberi ruang kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO pada PRU14 lalu.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan rundingan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti gabungan Muafakat Nasional (MN) sudah mencapai konsensus melebihi 50 peratus setakat ini.
Menurutnya, rundingan masih berjalan bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU15 antara rakan gabungan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker