Langkah Muhyiddin Lantik Timbalan Perdana Menteri Dari Umno

Saya mendengar ura-ura kelmarin bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin akan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari UMNO dalam usahanya untuk menyelamatkan hubungan partinya PPBM dengan UMNO.

Seperti yang saya nyatakan beberapa bulan lalu, jika perlantikan ini dibuat dengan semberono dan tidak kena calonnya maka ia akan mencetuskan kemelut dalam UMNO dan memecahbelahkan UMNO dari dalam.

Mungkin ini yang Muhyiddin mahu, iaitu menyelamatkan partinya PPBM dengan membeli sedikit masa bernafas dan pada masa yang sama menghuru-harakan dan melemahkan UMNO.

Calon yang Muhyiddin mahu dan selesa tentunya tidak akan dipersetujui oleh rata-rata akar umbi dan pemimpin UMNO kerana calon ini akan dilihat cenderung menyebelahi Muhyiddin dan PPBM.

Dan sebaliknya calon yang akar umbi dan pemimpin UMNO mahu besar kemungkinan tidak akan diterima oleh Muhyiddin dan PPBM.

PPBM tidak lagi boleh “membeli” UMNO dan UMNO tidak akan menjual diri.

Dan jikapun kedua-dua parti boleh bersetuju dengan satu nama, jawatan ini hanyalah bersifat sementara selama beberapa bulan sahaja, sebab dengan majoriti yang tipis atau tiada majoriti dalam Parlimen, kemelut politik tentunya akan berlaku lagi dalam sedikit masa sehinggalah Parlimen dibubar.

Dan UMNO tentunya perlu korbankan pelbagai perkara kepada Muhyiddin menjelang pilihanraya umum ke-15 sebagai timbal balas.

Buat apa terima satu jawatan timbalan untuk beberapa bulan tetapi korbankan perjuangan dan maruah parti kepada PPBM?

Dan seperti saya kata sebelum ini, oleh kerana PPBM terdiri daripada pelbagai pengkhianat, rakyat akan tolak mereka dalam pilihanraya dan jika kita (UMNO) beri laluan kepada mereka (PPBM), PH yang akan menang dan kembali berkuasa.
Ini tidak bijak dan tidak boleh diterima akal.

Hakikatnya, langkah PPBM ini tidak akan menyelesaikan masalah malah dilihat terdesak.

Akar umbi dan pucuk pimpinan UMNO rata-rata sudah boleh baca perkara ini, malah langkah ini sudahpun terlambat dan tidak lagi akan dapat memujuk UMNO untuk menyelamatkan PPBM.

Sebab itu Muhyiddin dan PPBM tidak lagi ada banyak pilihan selain meletakkan jawatan kerana mereka dilihat hanya fokus berpolitik untuk menyelamatkan diri namun keadaan ekonomi dan penularan COVID-19 semakin hari semakin buruk.

Mereka telah gagal untuk mengekang kenaikan penularan COVID-19 dan gagal mengendalikan ekonomi ketika krisis.

Dan dengan kuasa yang ada sebagai kerajaan, daripada membuat perkara-perkara terdesak yang memburukkan lagi keadaan dan membuat rakyat marah, buatlah perkara-perkara yang diminta oleh rakyat iaitu:
1. Memudahkan pengeluaran akaun 1 KWSP tanpa pelbagai syarat yang menekan.

2. Melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga enam bulan lagi atau sehingga keadaan ekonomi dan COVID beransur pulih dan rakyat kembali mendapat kerja atau boleh berniaga seperti sebelum ini.

3. Mempercepatkan penyampaian vaksin kepada rakyat supaya penularan virus dapat dikekang.

4. Mempercepatkan bantuan banjir kepada rakyat.

Dan bukannya sibuk berpolitik untuk mengekalkan kuasa tetapi kepentingan rakyat tidak dijaga.

Rakyat memerhati tindak tanduk anda ketika berkuasa dan rakyat juga boleh menggantikan anda.

ISHAM JALIL
11 Januari 2021

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker