8 kluster baru di 5 negeri, KL

Share

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenalpasti lapan kluster baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan di Johor, Kuala Lumpur, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Terengganu.

Memperincikan kluster itu, beliau berkata kluster Jalan Keluli melibatkan tiga daerah di Johor iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru dan Segamat.

“Kes bagi kluster ini dilaporkan positif pada 30 Dis hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor.

“Setakat hari ini, seramai 180 individu disaring, yang mana 42 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kluster Medan Idaman pula melibatkan daerah Cheras dan Titiwangsa di Kuala Lumpur yang mana setakat ini merekodkan 10 kes positif.

Katanya, kluster berikutnya iaitu Jelita dikesan di Miri, Sarawak dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 5 Jan hasil saringan rentas negeri dari Melaka dan setakat hari ini lapan kes positif direkodkan.

“Kluster keempat, kluster Kampung Renok pula melibatkan daerah Gua Musang, Kelantan. Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 1 Jan hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah pulang dari Selangor.

 

“Setakat hari ini, seramai 73 individu disaring, yang mana 23 kes dikesan positif,” katanya.

Kluster Kampung Geting turut dikesan di Kelantan membabitkan daerah Tumpat. Kes indeks bagi kluster ini dilapor positif pada 6 Jan, dan setakat ini 11 kes dikesan positif.

Kluster keenam, iaitu Lumut Barat pula melibatkan sebuah kem di daerah Manjung, Perak dan setakat hari ini 11 kes dilapor positif.

Kluster Kubang Bujuk pula melibatkan sebuah pusat pengajian agama di Kubang Bujuk, Kuala Terengganu, dengan kes indeks bagi kluster ini merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dikesan positif pada 8 Jan.

“Sehingga hari ini, seramai 45 individu disaring, yang mana 10 kes dikesan positif,” katanya.

Kluster terakhir, iaitu Kejaya melibatkan daerah Dungun di Terengganu.

“Kluster ini melibatkan komuniti di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Dungun dan setakat ini, sejumlah 95 individu disaring, yang mana sembilan kes dikesan positif,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 594 kluster dilaporkan termasuk lapan kluster baru hari ini.

Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 336 kluster, termasuk empat kluster yang tamat hari ini iaitu kluster Jalan Kemang, Taman Bunga, Damar Laut, dan kluster Tapak Bina Awan Baru.

Leave a Reply