Tiada ‘Jin’ atau ‘Khadam’

Johor Bahru: Jangan taasub kerana tiada ‘jin’, ‘khadam’, ‘tuan’ atau ‘semangat’ dalam keris berdiri.

Bukan itu saja, hanya beberapa percubaan saja diperlukan untuk belajar mendirikan keris tertentu tanpa bantuan ilmu mistik.

Hakikatnya, kemampuan keris berdiri adalah atas faktor keris itu sendiri yang mempunyai ‘titik keseimbangan’ sempurna.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, sejak zaman-berzaman, ramai yang mengaitkan keris berdiri dengan unsur mistik kononnya ia angkara khadam atau jin yang dimasukkan ke dalam senjata itu.



“Keris yang juga senjata silam lahir di alam Melayu Nusantara bukan sekadar besi. Ia juga memiliki jiwa, karakter, falsafah, keunikan malah penuh misteri.

“Bagaimana keris yang mempunyai bahagian hulu lebih berat berbanding bilahnya mampu berdiri? Hakikatnya, keris yang mampu berdiri ini disebabkan oleh empu atau pandai besi yang mempunyai kepakaran tinggi serta teliti dalam menghasilkannya.

“Disebabkan faktor ini, sebilah keris yang dihasilkan mempunyai titik keseimbangan yang sangat sempurna sehingga mampu berdiri tegak,” katanya.

Menurut Sharil Nizam yang ditemui di Unit Perolehan dan Konservasi Artifak milik YWJ di sini, keris adalah warisan atau lambang keberanian serta perjuangan orang Melayu yang perlu dijaga.



Namun, katanya, apa jua tanggapan kita terhadap fenomena keris berdiri ini, janganlah terlalu taasub sehingga mensyirikkan Allah SWT.

Bercerita lanjut, Sharil Nizam berkata, tiada latihan khusus atau had masa yang diperlukan untuk membuatkan sebilah keris berdiri.

“Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana kemampuan individu itu untuk mendirikan keris.

“Di YWJ, kita tiada memberi latihan khusus kepada kakitangan untuk mendirikan keris. Malah, seseorang itu tidak perlu ada kemahiran dalam mendirikan keris, dia cuma perlu fokus untuk mendirikan keris,” katanya.



Menurut Sharil Nizam, kebiasaannya, keris yang dapat didirikan tiada tempoh masa untuk bertahan.

“Suasana sekeliling memainkan peranan penting untuk satu-satu keris itu boleh berdiri lama seperti faktor tiada gegaran, getaran dan tiupan angin.

 

WASFI Mirza (kiri) bersama Sharil Nizam memeriksa keris dalam simpananYWJ.
WASFI Mirza (kiri) bersama Sharil Nizam memeriksa keris dalam simpananYWJ.

 



“Namun perlu diingat, faktor utamanya ialah ia hasil pembuatan keris itu sendiri,” katanya yang turut mempunyai kemampuan mendirikan keris selepas beberapa kali mencuba.

Menurut Sharil Nizam, pembuatan keris yang betul dan teliti dapat memberi keseimbangan kepada keris untuk berdiri.

Katanya, daripada segi pembuatan pula, sesebuah keris mestilah tidak mengalami sebarang kecacatan semasa proses tempaan.

“Berdasarkan petua dan ilmu orang dahulu, keris yang sempurna pembuatannya mampu didirikan dengan bantuan sarungnya sebagai penyendal,” katanya.



Keris berdiri ini juga sering dikatakan ‘luar biasa’ dan perlu ‘dimandikan’ menggunakan perahan limau dan diasapkan kemenyan.

Namun, katanya, ia bergantung kepada kepercayaan dan amalan dilakukan pemilik senjata itu sendiri.

“Sebilah keris yang agak berkarat memerlukan masa sehingga lima hari untuk dibersihkan menggunakan bahan penjagaan karat,” katanya.

Menurut Sharil Nizam, di YWJ, ada 307 bilah keris berusia 50 tahun hingga lebih 150 tahun yang ditempatkan di bawah muzium kelolaan yayasan itu



Daripada koleksi itu, ada lapan keris yang dikenal pasti mampu berdiri.

“Keris yang dalam simpanan kita dan mampu berdiri ialah keris Panjang, Jawa, Sepukal, Picit, Bugis, Sumatera, Madura dan Sundang.

 

TIMBALAN Pengarah YWJ, Wasfi Mirza menegakkan keris. Gambar bulat, keris Sundang (kiri) dan keris Bugis.
TIMBALAN Pengarah YWJ, Wasfi Mirza menegakkan keris. Gambar bulat, keris Sundang (kiri) dan keris Bugis.

 

“Keris yang paling unik dalam koleksi YWJ ialah keris berlok tiga berhulu geraham gajah. Hulunya dihasilkan daripada gigi geraham gajah yang dianggarkan berusia 100 hingga ke 150 tahun. Kini ia dipamerkan di Muzium Kota Tinggi,” katanya.

Menurut Sharil Nizam, perlu diingat, jenis besi semata-mata tidak mempengaruhi keris untuk berdiri.

“Namun pembuatan keris yang betul dan teliti serta tiada kecacatan semasa proses tempaan mampu memberi keseimbangan kepada keris seterusnya membolehkan ia didirikan,” katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, berdasarkan kajian, ada yang mengatakan empu zaman silam menggunakan 17 jenis besi sebagai bahan utama pembuatan keris.

Sharil Nizam berkata, ia berdasarkan kajian mengikut Prosiding Seminar Antarabangsa: Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Antara besi berkenaan ialah Pulasani, Mangangkang Jaler, Malelaruyun, Walulin, Tumbuk dan Balitung.

“Pada masa sama, ada empu yang menggunakan tahi bintang untuk menghasilkan bentuk dan pola pamor yang indah,” katanya.

Pamor pada keris terhasil ketika proses penghasilan senjata berkenaan melalui perbezaan jenis besi yang digunakan.

Keris lebih 500 tahun masih berbau harum

 

ANTARA koleksi keris simpanan YWJ.
ANTARA koleksi keris simpanan YWJ.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker