Sambutan Thaipusam Batal - Ramasamy — MYKMU.NET

Sambutan Thaipusam Batal – Ramasamy



Sebaran :

Acara perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan iaitu kemuncak kepada sambutan perayaan Thaipusam di Pulau Pinang dibatalkan tahun ini dan penganut agama Hindu dinasihatkan, berada di rumah pada 28 Januari bagi mengekang penularan COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy, berkata memandangkan kadar kes COVID-19 membimbangkan di negeri berkenaan dengan lima daerah dikategorikan sebagai zon merah, acara sambutan sempena Thaipusam yang kebiasaannya berlangsung seminggu tidak akan diadakan tahun ini.

“Ini keadaan serius dan kita harus bertanggungjawab untuk membendung wabak itu agar tidak merebak lebih luas. Oleh itu, kita perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa serta mengikuti panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).



“Kami menasihatkan agar penganut Hindu mengadakan upacara sembahyang di rumah masing-masing pada 27 hingga 29 Januari. Kami tidak mahu muncul kluster Thaipusam COVID-19 pula,” katanya pada sidang media mengenai keputusan kerajaan negeri membatalkan sambutan berkenaan di sini hari ini.

Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), berkata aktiviti sambutan selama tiga hari bermula 27 Januari dilarang termasuk perarakan kereta perak dan emas, penganut membawa periuk susu atau kavadis, pecah kelapa dan mencukur rambut.

Katanya, dua kuil utama iaitu Nattukottai Chettiar dan Hilltop Arulmigu Balathandayuthapani juga menghentikan semua sambutan di kuil berkenaan bagi mematuhi keputusan kerajaan negeri dan polis bersiap sedia untuk menguatkuasakan undang-undang.



Bagaimanapun, upacara sembahyang pada hari perayaan Thaipusam dilakukan oleh ahli jawatankuasa di dua kuil berkenaan sahaja dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – BERNAMA


Sebaran :


Leave a Reply