Skim i-Sinar ubah kelam berganti terang

Terkini di My KMU !!!!---->

 

Saudara Pengarang,

Saya antara jutaan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima khabar gembira selepas dimaklumkan permohonan Skim i-Sinar saya telah diluluskan beberapa hari lepas.

Skim i-Sinar membawa ceria buat mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami kekurangan pendapatan angkara pandemik Covid-19 yang entah bila akan berakhir.

Saya tidak terkecuali, sangat bersyukur menerima rezeki ini. Rezeki daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP.

Biarpun tidak sebanyak mana, i-Sinar tetap memberi cahaya buat saya dan keluarga, gembira tidak terkata apabila permohonan sudah diluluskan.

Proses permohonan yang dibuka mulai 21 Disember lalu juga sangat mudah, tidak banyak kerenah.

Mereka yang kurang mahir menggunakan komputer boleh ke pejabat KWSP untuk khidmat nasihat atau bantuan yang diperlukan.

Seperti ramai pencarum yang lain, saya juga berbaris panjang ketika ke pejabat KWSP beberapa minggu lalu.

Jangkaan saya pada mulanya, proses itu mungkin mengambil masa beberapa jam, jika melihat jumlah pencarum yang ada di sana.

Namun, jangkaan itu tersasar kerana semua yang datang diberi bantuan dan khidmat yang cekap oleh kakitangan KWSP yang cukup peramah dan banyak membantu.

Tidak sampai setengah jam menunggu, saya sudah berjaya mendaftar akaun dalam talian atau i-Akaun, tidak perlu ke kaunter pun kerana proses itu boleh dilakukan di banyak kios yang disediakan di pejabat berkenaan.

Untuk mendaftar permohonan i-Sinar pun mudah, hanya gunakan komputer dan dengan sekadar beberapa klik sambil dibantu ‘Elya’, proses itu pun selesai.

Terima kasih kerajaan, terima kasih KWSP kerana membenarkan kami mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 dalam masa yang begitu mencabar ini.

Wang yang diterima nanti akan banyak membantu. Bagi saya, ia memang benar-benar perlu untuk meringankan beban kewangan bagi menanggung keluarga.

Selain untuk kegunaan belanja harian dan  barang dapur, wang itu juga bagi membeli keperluan persekolahan dan kos makan minum anak-anak apabila sekolah dibuka semula pada 20 Januari nanti.

Terima kasih kerajaan kerana mendengar rintihan rakyat, terima kasih KWSP kerana prihatin dengan nasib kami.

Abdul Latiff Saidatul
Bandar Baru Bangi

Leave a Reply