PH hilang sokongan, tidak akan menang besar di Sarawak, kata penganalisis
Penganalisis Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata, Anwar Ibrahim telah hilang karisma dan Chong Chieng Jen pula kurang mahir berpolitik.
KUCHING: Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin menang besar dalam pilihan raya Sarawak ke-12 yang mesti diadakan pada Jun ini, walaupun parti komponennya tidak bertanding menentang satu sama lain, menurut seorang penganalisis politik.
Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia memberitahu FMT, bahawa beliau percaya PKR sudah “hilang sinar” sementara DAP Sarawak berdepan masalah kurang kemahiran politik dalam kalangan pemimpinnya.
Beliau berkata,PKR tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti yang dinamik, terutama kerana presidennya, Anwar Ibrahim, bukan lagi figura karismatik seperti dulu.
Berhubung kemahiran politik Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Jawan berkata, ia (kemahiran politik) beliau tidak seperti Sim Kwang Yang, yang merupakan antara perintis pembinaan parti itu pada akhir 1970-an.
“Selain itu, DAP juga gagal menunaikan janji pilihan raya apabila diberi peluang memerintah di Sarawak dan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Pada Sabtu, PH Sarawak mengumumkan persetujuannya berhubung pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang, dengan PKR bertanding di 47 kerusi, DAP 26 dan Amanah sembilan.
Chong berkata, PH Sarawak mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini, selain menambah bahawa ia meningkatkan peluang menang gabungan itu.
Jayum berkata, Amanah tidak mendapat tempat di hati orang Melayu dan Melanau.
Seorang lagi penganalisis, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, rakyat tidak seharusnya berasa terlalu teruja atas pengumuman pembahagian kerusi itu kerana kemungkinan akan berlaku perubahan pada saat-saat akhir.
“Ia hanyalah kenyataan umum dan akan ada siri rundingan lain sehingga ke hari penamaan calon,” katanya.
“Tiada apa-apa yang baharu mengenai pembahagian kerusi. Kita terus melihat DAP diberikan kerusi Cina dan PKR mendapat kerusi Dayak dan Melayu. Amanah hanya diberi sembilan kerusi kerana tidak mendapat sokongan di Sarawak. Bertuah kalau calonnya tidak hilang deposit .”
Dalam pilihan raya negeri terakhir pada 2016, DAP dan PKR bertanding menentang satu sama lain di Mulu, Mambong, Murum, Simanggang, Ngemah dan Bukit Kitang.
Semua kerusi itu akhirnya dimenangi oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Muhyiddin perlu tunai tuntutan UMNO, kata penganalisis politik