Pelajar undang-undang ‘hilang’ biasiswa kerana terpaksa bekerja untuk sara keluarga
PETALING JAYA: Aliya (bukan nama sebenar), pelajar jurusan undang-undang berusia 20 tahun ini tidak seperti gadis lain seusianya.
Setiap hari dia sentiasa mengejar waktu. Awal pagi menghadiri kuliah, kemudian bergegas ke tempat kerja sambilannya. Setelah habis waktu kerja, dia menyelesaikan pula tugasan yang diberi pensyarah dan mengulangkaji pelajaran.
Tetapi akhir-akhir ini rasa penat sudah tidak difikirkan lagi kerana dia lebih sukar untuk melelapkan mata.
Dia hilang biasiswa apabila gagal mencapai keputusan mata gred kumulatif minimum 3.3 (CGPA), jadi bagaimana dia ingin menghabiskan ijazahnya jika tanpa biasiswa?
Aliya tahu, dia harus berusaha lebih keras tetapi 2020 adalah tahun yang sangat sukar baginya.
Dua bulan sebelum memulakan krusus ijazah, ayah Aliya yang sepatutnya menyara lapan orang keluarganya telah meninggal dunia.
Tanggungjawab ketua keluarga kemudian beralih kepada ibu yang juga mengidap kencing manis dan darah tinggi. Dengan kudrat yang ada, ibu Aliya akan menjual sambal di sekitar kejiranan untuk menyara keluarga.
“Dua orang abang saya telah bekerja dan merekalah yang membantu membayar bil-bil di rumah namun ia masih tidak mencukupi. Malah, dengan bantuan badan kebajikan untuk salah seorang adik yang kurang upaya turut tidak dapat membantu.
“Jadi, saya perlu bekerja di kedai menjual ais krim selama empat hingga lima jam sehari, empat jam seminggu. Sabtu dan Ahad saya akan bekerja sepenuh masa,” ujarnya sambil menambah semasa bapanya sakit, dia juga yang menjaga bapanya.
Menurut Aliya, dia mendapat biasiswa kerana mendapat gred yang baik namun, kini pelajarannya merosot akibat terpaksa bekerja sambilan sambil belajar sehingga lewat pagi.
“Perintah Kawalan Pergerakan turut memberi kesan kepada pelajaran saya kerana saya merasakan agak mencabar untuk belajar secara dalam talian sambil terpaksa menjaga adik-adik, ibu dan nenek di rumah,” katanya.
Malah, sewaktu neneknya dimasukkan ke wad, dia terpaksa menjaga nenek di hospital sambil mengulangkaji untuk ujiannya.
Lebih malang apabila bateri komputer riba terpakainya mati, menjadikan pembelajaran dalam talian semakin sukar buatnya.
Aliya telah merayu kepada syarikat yang menaja biasiswanya untuk mempertimbangkan penarikan biasiswanya. Namun, tidak berjaya.
“Biasiswa ini amat penting buat saya dan keluarga. Saya tidak mahu kehilangannya. Saya ingin menjadi peguam dan membantu keluarga. Saya hanya melalui saat sukar sekarang ini.
“Saya tahu, saya boleh menaikkan semua gred untuk mengekalkan biasiswa ini, saya hanya perlukan satu lagi peluang,” rayunya.
Bagi mereka yang ingin membantu Aliya, WhatsApp di 019-389 9839.
You must be logged in to post a comment.