Syarikat dari Kedah akan selamatkan projek terowong dasar laut P Pinang?


Projek kontroversi terowong dasar laut dan jalan Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion belum menemui jalan penamat.

Malah, ia diberikan nafas baru dengan pemaju yang berpangkalan di Kedah membuat perjanjian untuk mengambil alih projek terbabit melalui pembelian majoriti saham dalam syarikat yang ditawarkan projek itu.

Sumber berkata, kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat Kedah itu, yang diterajui seorang ahli perniagaan Pulau Pinang dengan gelaran “Tan Sri”, untuk mengambil alih projek berkenaan.

“Exco negeri meluluskan pengambilalihan itu pada awal Disember. Syarikat baru terbabit akan menghidupkan semula projek berkenaan, yang tergendala akibat siasatan SPRM selama beberapa tahun. Tan Sri itu adalah penyelamat projek tersebut,” kata sumber.



FMT sudah menghubungi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk mendapatkan komen.

Walaupun nilai sebenar pengambilalihan itu tidak dapat dipastikan, difahamkan syarikat itu akan menanggung liabiliti dan kos lain. Sumber berkata, syarikat Kedah itu akan membuat bayaran secara ansuran, selepas kerja dimulakan untuk setiap komponen projek terbabit.

Oktober tahun lalu, kontraktor utama projek tersebut, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) memberitahu FMT, ia dalam proses “penstrukturan dalaman” supaya projek itu dapat dijalankan dengan lancar.

Satu sumber sebelum ini memberitahu FMT, penstrukturan semula itu ialah usaha menyelamatkan imej CZC dan projek terowong serta jalan itu, yang antara lain teruk terjejas dengan dakwaan tuduhan rasuah.



Chow dilaporkan berkata, syarikat itu bebas membuat sebarang penstrukturan semula yang dikehendakinya dan negeri itu akan mempertimbangkannya selagi ia dalam tempoh kontrak yang ditandatangani sebelum ini. Kerajaan Pulau Pinang adalah pemilik projek terbabit.

FMT sebelum ini melaporkan tiga syarikat menyasarkan untuk mengambil alih projek tersebut, iaitu sebuah syarikat berpangkalan di Kedah, syarikat perlombongan dan pembinaan berpangkalan di Pahang serta sebuah firma kejuruteraan di Kuala Lumpur.

Syarikat yang berpangkalan di Pahang itu dikatakan bekerjasama dengan seorang bekas menteri persekutuan untuk projek itu. Firma dari KL itu ialah pihak yang tidak asing lagi, pernah melaksanakan kerja untuk projek itu sebelum ini.

Projek terowong dasar laut dan jalan yang dicadangkan kerajaan Pulau Pinang itu bertujuan mengurangkan aliran trafik di jambatan pertama dan kesesakan di koridor lain di pulau itu.



Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan dibina dari George Town ke Butterworth, sekiranya kajian kebolehlaksanaan didapati positif.

Selain terowong itu, tiga jalan juga akan dibina dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km). FMT

Skandal Terowong: Keadilan Ditegakkan, Guan Eng Akan Didakwa?



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker