Program kanak-kanak mengenai ‘zakar terpanjang di dunia’ jadi kejutan.
COPENHAGEN: Program kartun Denmark memaparkan kehidupan seharian watak dinamakan John Dillermand mengundang kontroversi kerana berkisar mengenai kisah lelaki memiliki ‘zakar terpanjang di dunia’,
Watak kartun Denmark, John Dillermand. – Foto AFP
Walaupun ditayangkan di negara antara yang paling progresif di dunia, siaran yang menyasarkan penonton berusia antara empat hingga lapan tahun itu tetap mencetuskan perdebatan sama ada ia sesuai atau tidak.
Ini kerana hampir keseluruhan program berkenaan membabitkan pengalaman kehidupan seharian lelaki berkenaan yang banyak dipengaruhi oleh ‘zakar ajaib terpanjang di dunia’ miliknya.
Stesen penyiaran awam DR, di laman Facebook mereka semalam, berkata pihaknya menganggap adalah penting bagi bercerita mengenai anggota badan manusia.
Sejak disiarkan 2 Januari lalu menerusi saluran kanak-kanak Ramasjang, program John Dillermand yang merangkumi 13 episod itu sudah ditonton sebanyak 140,000 kali.
Pakar pendidikan, Sophie Munster, memberitahu AFP bahawa program itu menampilkan perwatakan sebenar Denmark yang kerap mencabar batasan sedia ada dengan menggunakan lawak jenaka dan menganggapnya sebagai perkara biasa.
Namun, tidak kurang juga penduduk Denmark yang berang dengan rancangan kanak-kanak seumpama itu, termasuk wakil rakyat berhaluan kanan, Morten Messerschmidt, yang mengecamnya di laman Facebook beliau.
“Saya tidak fikir melihat alat kelamin lelaki dewasa harus dianggap sebagai sesuatu yang normal bagi kanak-kanak, biarpun ini hanya kartun. Adakah ini yang dipanggil perkhidmatan awam?,” soalnya.
Munster bagaimanapun berkata, perdebatan beliau adalah daripada perspektif golongan dewasa yang melihat zakar panjang sebagai isu seksual manakala kanak-kanak pula melihatnya sebagai bahan jenaka. – AFP
Remaja 18 tahun disyaki pancung kepala guru tunjuk kartun nabi