Jamal Bakar Kerang di Putrajaya Pula Sebagai Tanda Protes

 

PUTRAJAYA – Selepas membakar kerang di Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam pada Isnin lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengulangi perkara sama, hari ini.

J

Jamal membakar kerang selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perikanan Malaysia berhubung kes kecurian benih kerang di Wisma Tani Putrajaya, di sini, hari ini

Kali ini, Jamal membakar kerang di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, di sini petang tadi.

Sama seperti sebelum ini, aktiviti membakar kerang itu dilakukan Jamal sebagai protes kepada jabatan itu yang gagal membendung aktiviti mencuri benih kerang di sekitar pesisir pantai Sungai Leman, Sekinchan di sini sejak sebulan lalu.

Jamal yang ditemui berkata, beliau hadir ke jabatan itu bagi menyerahkan sendiri memorandum kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Ahmad Tarmidzi Ramly supaya tindakan segera diambil.

“Saya harap dapat bakar kerang buat kali terkahir. Selepas ini, saya juga berharap ada tindakan diambil terhadap aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

“Saya bukannya nak mencari publisiti tapi cuma ingin membela nasib nelayan-nelayan tempatan yang juga penduduk di kawasan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Jamal menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah Perikanan, Mohd. Azhar Mohd. Zin.

Dalam pada itu, Jamal berkata, beliau hanya mahu melindungi ‘periuk nasi’ nelayan-nelayan di Sekinchan, Selangor.

“Kami kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri benih kerang sebelum menjualnya ke Thailand,” katanya.

Katanya, beliau mahu tindakan segera diambil jabatan bagi membendung aktiviti itu kerana ia dilihat menjejaskan pendapatan nelayan tempatan

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan, kawasan pembiakan benih kerang di negeri ini akan diwartakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pewartaan itu membabitkan pantai di bermula dari Kuala Selangor hingga Sabak Bernam dan ia sekali gus membantu mencegah aktiviti mencuri dalam kalangan sindiket.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk setempat khususnya nelayan di sekitar pesisir Pantai Sungai Leman, Sekinchan yang mendakwa aktiviti mencuri benih kerang semakin berleluasa. – K! ONLINE

Leave a Reply