UMNO Pulau Pinang tolak kerjasama Bersatu pada PRU-15
SEBERANG PERAI – UMNO Pulau Pinang menolak sebarang kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan itu dibuat selepas majoriti daripada 13 bahagian UMNO negeri ini membawa usul itu dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang selesai hari ini.
MUSA (duduk tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Buttetworth hari ini.
Menurut beliau, UMNO negeri sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti lain di negeri ini dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP.
Dengan keputusan itu juga, katanya, UMNO Pulau Pinang akan bertanding di semua kerusi yang dimiliki parti itu sebelum ini tetapi menjadi milik Bersatu selepas wakilnya melompat parti.
“Kita menilai Bersatu masih berdendam dengan UMNO dan kita juga rasa seperti ditikam dari belakang sedangkan UMNO sudah banyak bertolak ansur.
“Kesabaran kami ada had dan ahli-ahli akar umbi juga melihat dan marah dengan situasi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.
Bersatu Pulau Pinang ketika ini memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bertam, Seberang Jaya, Teluk Bahang dan Sungai Acheh.
Menurut Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam itu, keputusan untuk tidak bekerjasama secara politik dengan Bersatu bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah diputuskan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini.
Katanya, kerjasama dengan Bersatu ketika ini hanya untuk membentuk Kerajaan Pusat ekoran pergolakan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan tumbang sebelum ini.
“Tetapi malangnya ada pemimpin UMNO sendiri yang membuat kenyataan mengelirukan berkenaan perkara ini sehingga menyebabkan ahli-ahli akar umbi dan rakyat turut keliru,” katanya. – K! ONLINE
Jayakan kerjasama dengan UMNO, Bersatu, PAS Pulau Pinang komited
You must be logged in to post a comment.