Sikap bacul si pencuri ahli – Hariri
Perbuatan mencuri keahlian UMNO bukan isu baharu, malah sudah menjadi rahsia terbuka sejak sebuah parti serpihan ditubuhkan beberapa tahun lalu, kata Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.
Beliau memberi contoh apa yang berlaku kepada sejumlah ahli UMNO di Bahagian Tanah Merah sebelum ini, yang ditawarkan habuan untuk menyertai parti berkenaan menerusi ejen yang dilantik mereka.
“Malah, ada antara ahli ini tidak tahu pun nama mereka diambil menjadi ahli parti berkenaan. Ini secara terang kesalahan pemalsuan dokumen yang boleh disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Terdahulu beliau berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas di sini.
Semalam, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, sayap parti itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh kekal, sekiranya usaha mencuri dan membeli ahli UMNO masih berlaku.
Ketua Pemuda UMNI itu berkata, beliau melihat suasana hubungan UMNO dengan Bersatu di peringkat akar umbi ketika ini semakin panas dan getir akibat perbuatan itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dalam kenyataan balasnya mempersoalkan siapa Dr. Asyraf hendak menuduh dan memfitnah Bersatu mencuri dan membeli orang UMNO.
Mengulas lanjut isu itu, Noor Hariri meminta Armada Bersatu tidak perlu bicarakan soal kejujuran jika mereka tidak ikhlas dan menikam dari belakang rakan yang meletakkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Jangan sesekali lupakan ini. Soalan saya, ada pimpinan Bersatu Tanah Merah atau Bersatu pusat memberi maklum balas terhadap dakwaan ini? Tidak ada.
“Pemuda UMNO Kelantan sudah lama memerhati dan memantau gerakan ini dan dikhabarkan telah merebak ke Bahagian Jeli serta bahagian-bahagian lain pula.
“Nasihat kami, jika mahu rekrut ahli sekalipun, buatlah secara matang atau anak jantan. Jangan dipaksa dan diberi habuan itu dan ini,” katanya.
Beliau bimbang, tidak mustahil satu hari nanti Bersatu juga boleh mencuri ahli daripada Pas sekiranya perbuatan seperti itu tidak dibendung dari sekarang.
Ini berbeza dengan semangat ditunjukkan UMNO dan Pas Kelantan, yang masing-masing bersetuju untuk tidak menerima bekas ahli kedua parti itu menjadi ahli, demi menjaga kerukunan hubungan Muafakat Nasional (MN).
“Kami, sebagai pergerakan sayap yang telah lama bermain parti, sudah tentu kami tahu kesan dakwaan ini.
“Atas nama perjuangan parti, Pemuda UMNO rela diheret ke mahkamah sekiranya Armada ingin mendakwanya. Kami semua sudah bersiap sedia, meskipun terpaksa bergadai tanah.
“Demi untuk menegakkan kebenaran, kami sanggup berdepan tindakan (undang-undang) dari pihak sana,” katanya. MG
You must be logged in to post a comment.