Jika terus jadi parti pengikut, UMNO akhirnya akan terbunuh – Najib
PARTI UMNO perlu kembali menjadi parti dominan, parti peneraju dan parti utama dalam negara.
Pengerusi Perhubungan UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO perlu kembali menjadi parti yang memimpin negara dan tidak hanya menjadi parti yang dipimpin.
Menurut bekas presiden UMNO, ahli parti itu tidak seharusnya berpuas hati selepas dilantik ke jawatan menteri dalam kerajaan sekarang.
“Kita dahulu menjadi peneraju agenda dan hala tuju, bukan seperti hari ini menjadi pendokong dan menjadi pengkikut.
“Asal ada jawatan menteri sudah gembira, walaupun kualiti portfolio tidak sepadan dengan sumbangan UMNO kepada kekalnya kerajaan yang ada,” kata Najib dalam ucapan Perasmian Persidangan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Pekan hari ini.
Menurut Najib, UMNO bukan parti yang diwujudkan untuk jadi parti penyokong malah jauh sekali sebagai parti pembangkang.
Katanya, UMNO telah berada dalam ketidak-pastian dan terumbang ambing untuk kembali jadi parti siasah selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 10 Mei 2018.
Beliau menegaskan UMNO tidak boleh terus berada dalam keadaan sekarang yang hanya menjadi parti pengikut selepas penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional Mac lalu kerana ia boleh menamatkan hayat parti itu.
“Jika kita mengambil apa yang berlaku sepanjang sembilan bulan ini dan menerimanya sebagai kebiasaan atau realiti baru. Maka kita sebenarnya membunuh UMNO secara perlahan-perlahan.
“Jika UMNO berterusan seperti hari ini iaitu hanya jadi salah satu komponen parti pemerintah, yang walaupun memainkan peranan besar bagi mendokong hidup kerajaan yang ada tetapi ibarat dilayan sebagai anak tiri maka tunggulah pengakhiran UMNO,” amaran Najib.
Justeru katanya, ahli UMNO perlu keluar daripada putaran ganas kehilangan keyakinan diri dengan membina kejayaan baharu dan keyakinan yang berterusan.
Katanya, beberapa siri pilihan raya kecil menunjukkan sokongan kepada UMNO semakin meningkat bermula dengan Parlimen Cameron Highlands yang telah menunjukkan kekuatan baharu dalam UMNO.
“Mengapa kita mensia-siakan apa yang kita kendong kerana keyakinan dan keberanian kita diuji. Kenapa musuh dan pesaing politik kita dibenarkan untuk menang di meja rundingan, apa yang mereka tidak mungkin menang di medan pilihan raya.
“Itu ibarat tersungkur di pintu kejayaan kerana tersandung bayang-bayang sendiri,” kata Najib.
Menurut Najib tahun 2021 perlu menjadi tahun kebangkitan UMNO tambahan pula beliau menjangkakan persidangan UMNO yang diadakan ketika ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung.
“Kita mesti jadikan tahun 2021 ini tahun yang amat penting. Tahun yang akan merupakan kebangkitan semula UMNO sebagai teras dan tunjang parti dominan tanah air.
“Semangat dan mentaliti untuk menang dan hasrat untuk jadikan UMNO bukan parti yang mengikut ataupun parti dipimpin tetapi parti yang memimpin.
“Parti keramat ini telah terlalu banyak budi dan jasa kepada rakyat dan negara. Tidak boleh dibiarkan dalam keadaan sedemikian. Apapun kita mesti kembali sebagai parti peneraju dan parti utama dan parti dominan di tanah air kita,” katanya penuh semangat sambil mendapat tepukan hebat daripada perwakilan yang hadir.-
SM
You must be logged in to post a comment.