Pemuda UMNO mahu PPBM henti ‘curi ahli’, PPBM gesa Asyraf bukti dakwaan
PETALING JAYA: Pemuda UMNO menggesa PPBM menghentikan aktiviti “mencuri dan membeli” ahli parti itu, susulan aduan akar umbi mendakwa parti serpihan UMNO itu menawarkan wang antara RM100 hingga RM5,000 setiap seorang.
Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki berkata, fenomena mencuri dan membeli ahli parti itu jika diteruskan akan mengesahkan persepsi dan dakwaan matlamat penubuhan PPBM dan gabungan besar Perikatan Nasional (PN) untuk “melemahkan dan menggantikan” UMNO.
“Seharusnya dalam suasana permuafakatan kerajaan yang terbentuk, hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya titik persefahaman dan merungkai perbezaan, termasuk menghentikan usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan bersama yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf berkata, daripada mengerahkan peruntukan dan sumber dana parti untuk menubuhkan cawangan, adalah lebih baik sekiranya PPBM memanfaatkannya dengan mengembleng parti rakan dalam aktiviti membantu rakyat di peringkat akar umbi.
“Hampir semua Ahli Parlimen PPBM ketika ini, termasuk yang ‘melompat’ dari UMNO, berjawatan menteri dan timbalan menteri.
Kalau tak puas hati, sila bertanding sendirian PRU nanti – Pemuda Pas
“Seharusnya fokuskan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan pimpinan tertinggi PPBM yang seolah-olah tidak menunjukkan rasa bersalah, bahkan mempertahankan kemasukan ahli UMNO ke dalam parti itu atas dasar “keterbukaan” dan sama-sama berada bawah “bumbung PN”, hanya akan menyebabkan hubungan UMNO-PPBM semakin meruncing.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, mahu Asyraf membuktikan tuduhan individu yang menyertai PPBM dibayar antara RM100 hingga RM5,000.
Beliau berkata, ia tuduhan liar tanpa bukti.
“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini. Saya tuntut Asyraf memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta-merta.
“Saya juga akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya.
You must be logged in to post a comment.