Amaran polis kepada penunggang basikal di Putrajaya



Sebaran :

PUTRAJAYA – Sebanyak 18 kes kemalangan basikal termasuk satu kes maut dilaporkan di Putrajaya bagi tempoh dua tahun bermula 2019.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, mengikut laporan statistik, enam kes direkodkan pada tahun 2019, manakala tahun lalu mencatatkan 12 kes termasuk satu kes kematian.

Menurutnya, susulan itu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah menjalankan Ops Khas Basikal bermula 1 hingga 3 Januari ini untuk tujuan advokasi dan tindakan penguatkuasaan bermula 9 dan 10 Januari.



“Pihak polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Ciri-ciri keselamatan basikal termasuklah lampu hadapan yang seharusnya dilengkapi dengan brek serta loceng bagi membolehkan penunggang basikal menunjukkan kehadiran kepada pengguna jalan raya yang lain juga perlu dipandang serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.



Katanya, selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng.

Justeru, pihaknya menasihatkan penunggang basikal agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.


Sebaran :


Leave a Reply