Frontliners mandi peluh menjaga pesakit
Kuala Lumpur: “Di hadapan itu ada pesakit Covid-19 akan lalu untuk ke wad pemeriksaan. Encik Hafiz dan jurufoto boleh ke depan sedikit untuk rekod video dan gambar, tetapi jangan melalui garisan yang kami sudah lekatkan. Bahaya!” maklum pegawai komunikasi korporat Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada penulis.
Riak muka penulis, jurufoto, Shahril Badri Saali dan juruvideo, Halim Salleh tidak kelihatan kerana ‘dibungkus’ dengan pelitup muka.
Sebenarnya di dalam hati Tuhan sahaja yang tahu bagaimana berdebar perasan tatkala berada di persekitaran itu.
Musuh ini (Covid-19) tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Jika sudah dijangkiti pasti akibat buruk menimpa kami.
Sebenarnya kehadiran penulis dan dua rakan sekerja ke HKL untuk melaporkan mengenai situasi barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan yang bekerja keras bagi memastikan pandemik ini dapat diputuskan.
Sebelum ke HKL, penulis sudah memaklumkan kepada pegawai komunikasi korporat berkenaan untuk menemu bual tiga jururawat yang memberi khidmat kepada pesakit Covid-19. Tidak sangka, ketiga-tiganya adalah ibu muda dan ada antara mereka mempunyai bayi yang masih menyusu badan.
Tidak silap penulis, ketika itu tinggal kurang seminggu Aidilfitri akan disambut. Wajah jururawat yang menjaga pesakit Covid-19 kelihatan tenang sahaja ketika penulis menemui mereka.
Sebaik sahaja bertanya soal anak, risiko dan pengalaman, jururawat yang awalnya kelihatan tersenyum, mula menunjukkan riak ‘kurang selesa.’
Akhirnya air mata ibu muda itu tumpah dalam temu bual berkenaan.
Sebagai pengamal media, penulis sedaya upaya memastikan situasi sedih mereka tidak ‘menjangkiti’ emosi peribadi kerana ia akan mengganggu sesi temu bual.
“Siapa yang tidak risau, kita tidak nampak virus (Covid-19) ini. Sebagai kakitangan perubatan kita tidak boleh memilih mengikut kehendak peribadi untuk bertugas di wad yang kita inginkan kerana ia adalah tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul.
“Andai kata saya yang berada di dalam wad itu sebagai pesakit. Sememangnya tidak dapat dibayangkan kerana anak pertama masih menyusu badan. Saya tidak risau mengenai diri sendiri, tetapi anak,” kata jururawat Nor Ashiela Azmi, 31.
Dalam temu bual itu, penulis dimaklumkan mereka amat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak hospital. Bermandi peluh di dalam kelengkapan perlindungan diri (PPE) menjadi perkara biasa.
Itu belum lagi ketika ditanya mengenai emosi dan kerenah pesakit yang perlu dilayani mereka. Pelbagai kisah di luar rakaman Spotlight tidak penulis masukkan kerana perlu menjaga sensitiviti.
Sepanjang 10 tahun bergelar wartawan, penulis dapat merasakan ini adalah tugasan paling mencabar kerana perlu masuk ke dalam lokasi yang mempunyai risiko tinggi meskipun tidak masuk ke dalam wad pesakit itu sendiri.
Namun, ia adalah pengalaman kerjaya yang tidak akan dilupakan kerana 2020 memberi pelbagai kenangan sama ada pahit mahupun manis.
Jika dahulu, penulis boleh bercerita mengenai debaran kisah gempa bumi sepanjang laluan ke Kem Induk Everest di Nepal, kini ia berganti mengenai pandemik Covid-19 yang masih menjadi musuh kita.
Suatu tugasan yang mencabar secara peribadi kepada penulis, tetapi memberi sejuta makna untuk direnung. Kita jaga kita. HM
Frontliners’ Kembali Ke Medan Perang
You must be logged in to post a comment.