Pesakit Covid-19 resah, keliru dibiar menunggu di rumah

Ketika jangkitan Covid-19 meningkat ke paras tertinggi di seluruh Lembah Klang, pegawai Kementerian Kesihatan berdepan kesukaran membawa pesakit ke hospital dengan segera.

Kelewatan itu menyebabkan beberapa kes positif Covid-19 terpaksa menunggu beberapa hari sebelum mereka dijemput dari rumah mereka dengan ambulans.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan pesakit yang menunggu dipindahkan ke hospital agar mengasingkan diri di rumah, memakai memakai pelitup muka dan menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan arahan.

Namun, mereka yang berpengalaman memberitahu Malaysiakini bahawa penantian itu mengecewakan kerana talian telefon kementerian sering sibuk.

Mereka juga terpaksa mengambil langkah sendiri kerana kurangnya panduan terperinci mengenai untuk pesakit positif Covid-19 yang eprlu mengasingkan diri di rumah.

Memandangkan mereka tinggal bersama rakan serumah atau ahli keluarga, mereka bimbang akan menyebabkan kluster jangkitan baru.

Takut menjangkiti pasangan, anak-anak

Cheong yang berusia 51 tahun menunggu di rumah selama tiga hari setelah didapati positif dalam ujian Covid-19 sebelum dia dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dimaklumkan mengenai statusnya pada 12 Disember, Cheong terkejut apabila dia tidak mendapat berita dari Kementerian Kesihatan setelah beberapa hari mendapati keputusan ujiannya.

Hanya setelah membuat banyak panggilan telefon ke kemudahan perubatan swasta tempat dia menjalani ujian RT-PCR, dan kepada ahli majlis Majlis Perbandaran Klang, Lee Fu Haw, ambulans akhirnya tiba di pintu rumahnya pada malam 15 Disember.

Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Cheong mengatakan bahawa dia sangat bimbang menjangkiti pasangannya dan tiga anaknya selama empat hari menunggu kerana mereka tinggal di rumah yang sama di Klang, Selangor.

Bahkan sebelum dia mendapat keputusan ujian, dia sudah mula mengasingkan diri di bilik tidurnya sebagai langkah berjaga-jaga. Pasangannya akan meninggalkan makanan di luar pintu dan membersihkan semua alat makan setelah dia selesai makan.

 

Dia tidak pernah meninggalkan biliknya sementara ahli keluarganya tidak pernah meninggalkan rumah.

“Doktor hanya memberitahu saya bahawa keputusan ujian saya positif dan kementerian akan menghubungi saya, itu saja.

“Tetapi tidak ada yang memberitahu saya apa yang harus saya lakukan. Sebenarnya, saya adalah orang yang bertanya kepada mereka jika saya harus mengasingkan diri di dalam bilik. Dan mereka iyakan saja. Begitu saja. Sudah tentu, saya tidak dapat menerimanya.

“Selama beberapa hari saya berada di rumah, saya merasa sangat takut dengan keadaan keluarga saya kerana tidak ada jaminan dan tidak ada perlindungan. Itulah sebabnya saya membuat panggilan telefon, saya tidak mahu ini berterusan,” kata Cheong.

Walaupun dia memahami bahawa pekerja kesihatan berdepan dengan lonjakan kes koronavirus, dia berharap kementerian akan memberikan lebih banyak panduan kepada mereka yang perlu melalui pengalaman sepertinya.

“Jika mereka tidak punya cara untuk segera membawa pesakit ke hospital, mereka harus memberi kami panduan bagaimana mengasingkan diri. Ini penting,” katanya.

Semua ahli keluarga Cheong diuji negatif terhadap virus tersebut. Dia sudah pulih sejak dan dan dibenarkankeluar hospital.

Sukar menembusi talian

Sementara itu, seorang pegawai eksekutif kewangan, N, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Disember hanya selepas tiga hari didapati positif Covid-19.

Dia telah menjalani ujian di sebuah kemudahan perubatan swasta setelah ayahnya positif virus itu. Ibunya telah diuji negatif.

Berkongsi ceritanya dengan Malaysiakini, N berkata dia cuba menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat setelah dia tidak mendapat khabar dari Kementerian Kesihatan namun gagal.

“Yang dapat saya lakukan hanyalah menunggu panggilan mereka.

“Dan, untuk mengasingkan diri di bilik saya sambil merasa bimbang saya kemungkinan menjangkiti ibu saya,” katanya.

N, yang tinggal di Kota Damansara di Selangor, mengatakan bahawa dia mengurung diri di biliknya selama tiga hari. Ibunya akan meninggalkan makanan di luar pintu dan dia akan memakai pelitup muka ketika mengumpulkan makanannya.

“Saya tidak dapat membayangkan mereka yang tinggal di sebuah rumah kecil dengan banyak orang tinggal bersama. Setiap orang berisiko besar dijangkiti,” katanya.

N sejak itu sudah dibenarkan keluar hospital. Dia tidak mengalami sebarang gejala sepanjang jangkitan.

Hidup dalam ketidakpastian

Bagi S yang berusia 24 tahun, satu minggu yang lalu dia membuat banyak panggilan telefon yang tidak dijawab dan pertanyaan yang tidak menemukan jawapan pasti mengenai status jangkitannya.

Dia pertama kali demam pada 21 Disember dan diuji positif virus itu menggunakan ujian Antigen RTK dua hari kemudian, pada 23 Disember.

Klinik swasta tempat dia menjalani ujian kemudian menyuruh dia pulang, memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan akan menghubunginya.

Dia menunggu di rumah selama lima hari dan menghabiskan hari-hari itu cuba menghubungi kementerian sebelum dia diminta untuk hadir di klinik kementerian untuk menjalani ujian RT-PCR pada 28 Disember.

S masih belum tahu secara pasti jika dia dijangkiti tersebut.

“Saya menghubungi (Pejabat Kesihatan Daerah) selama dua hingga tiga hari sebelum saya berjaya menembusi talian. Malah rakan-rakan saya membantu membuat panggilan,” katanya kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, dia mengasingkan diri di bilik tidur utama.

S berkongsi betapa dia bersyukur kerana enam rakan serumahnya di rumah di Shah Alam sangat prihatin, memasak makanannya setiap hari dan meninggalkannya di depan pintu rumahnya.

 

“Penantian itu sangat buat saya tertekan.

“Saya bimbang kerana saya tidak tahu sama ada saya positif atau negatif. Sekarang, rakan serumah saya pun tidak dapat meninggalkan rumah,” kata S.

Dia tidak dapat pergi bekerja dan sentiasa membuat panggilan kepada keluarganya di Kedah untuk memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai gejala.

Seperti Cheong, S mengatakan dia tidak diberi nasihat atau panduan mengenai cara mencegah penularan virus kepada orang di sekitarnya di dalam rumah.

“Beberapa panduan akan sangat membantu. Sekiranya mereka boleh menghubungi kami dan memberitahu kami apa yang harus dilakukan. Setakat ini saya tidak mempunyai perincian,” katanya.

S terus dikuarantin di biliknya sementara rakan serumahnya dikuarantin di rumah. Sebilangan rakan serumahnya belum menjalani ujian RT-PCR.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker